Quartararo bakal uji enjin V4 Yamaha di Barcelona

Yamaha jelas semakin serius dalam usaha membangunkan enjin V4 baharu mereka, apabila Fabio Quartararo (Monster Energy Yamaha MotoGP) mengesahkan akan menunggang prototaip tersebut pada sesi ujian peribadi di Litar Barcelona, pada Isnin sehari selepas berakhirnya GP Catalunya.

Sehingga kini, Yamaha satu-satunya pengeluar dalam grid MotoGP yang masih menggunakan enjin konfigurasi inline four, berbeza dengan pengeluar lain yang majoritinya berlumba dengan enjin jenis V4.

Keputusan untuk memperkenalkan V4 ini dilihat sebagai langkah berani untuk mereka melakukan perubahan besar dalam menghadapi perubahan peraturan pada tahun 2027, di mana kapasiti enjin akan dikecilkan daripada 1000cc kepada 850cc.

Seperti disahkan oleh Pengarah Urusan Yamaha Motor Racing, Paolo Pavesio di GP Hungary, enjin V4 baharu ini akan membuat kemunculan perlumbaan pertamanya pada Grand Prix San Marino dan Rimini Riviera bulan depan. Tugas itu akan dipikul oleh pelumba ujian, Augusto Fernández, yang bakal beraksi melalui tiket wildcard.

Namun sebelum debut rasmi tersebut, Quartararo sendiri bakal merasai jentera tersebut di Barcelona – sekali gus memberi peluang awal untuk menilai prestasi sebenar enjin revolusioner ini.

Masih belum jelas sama ada Yamaha akan memberikan komen lanjut selepas sesi ujian Isnin ini, namun pastinya semua mata kini tertumpu kepada sejauh mana V4 tersebut mampu mengubah nasib pasukan biru itu pada baki musim dan tahun-tahun mendatang.

Baca juga:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}

Kongsi artikel ini:

Related