“Seperti Trek Motocross”, Permukaan Litar Sepang Jadi Perhatian

SEPANG: Keadaan permukaan Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang menjadi antara topik utama yang dibangkitkan pelumba selepas aksi hari pertama Grand Prix Malaysia, dengan beberapa pelumba mengadu mengenai batu dan serpihan asfalt yang terpelanting daripada jentera di hadapan.

Antara yang paling lantang menyuarakan kebimbangan ialah pelumba Honda HRC, Luca Marini, yang menyifatkan permukaan trek ketika ini berada dalam keadaan sangat teruk.

“Permukaan asfalt sudah benar-benar rosak. Ia sudah teruk tahun lalu, tetapi sekarang hampir setiap selekoh menjadi satu masalah, kecuali Selekoh 7 dan 8,” kata Marini.

Menurut pelumba Itali itu, keadaan permukaan litar bukan sahaja menjejaskan prestasi motosikal, malah turut membawa risiko kerosakan mekanikal.

Marini mendedahkan bahawa sesi latihannya terjejas selepas batu yang terpelanting daripada jentera di hadapannya terkena radiator motosikalnya.

“Seketul batu terkena radiator saya dan saya terpaksa mematikan jentera kerana kehilangan semua air,” katanya.

Insiden itu menyebabkan Marini gagal melengkapkan percubaan time attack terakhir yang dirancang pada penghujung sesi.

Beliau turut memberi amaran bahawa situasi tersebut berpotensi menjadi lebih mencabar ketika perlumbaan sebenar, terutama pada permulaan saingan apabila semua pelumba memasuki zon membrek pertama dalam kelompok yang rapat.

“Ketika permulaan perlumbaan, di zon membrek pertama akan ada banyak batu yang terpelanting kepada pelumba di belakang. Sebab itu lebih baik bermula di hadapan,” katanya.

“Seperti Trek Motocross”

Seorang lagi pelumba Itali, Fabio Di Giannantonio, turut menyuarakan kebimbangan yang sama, malah mengibaratkan keadaan Sepang ketika ini seperti sebuah trek motocross.

“Ia seperti trek motocross sekarang. Kami perlu memakai chest protector kerana begitu banyak batu yang datang daripada asfalt,” katanya.

Pelumba Pertamina Enduro VR46 Racing Team itu berkata dia sendiri menerima beberapa hentaman batu ketika melakukan practice start di belakang pelumba lain.

“Saya terkena begitu banyak batu ketika melakukan practice start di belakang seorang pelumba,” katanya.

Di Giannantonio percaya masalah tersebut berpunca daripada keadaan permukaan asfalt yang telah melalui proses scratching, sesuatu yang menurutnya kurang sesuai untuk motosikal MotoGP.

“Apabila mereka melakukan perkara seperti ini, menggaru permukaan asfalt, bagi kami yang menunggang motosikal ia bukan sesuatu yang bagus.

“Tetapi inilah keadaannya. Saya tidak tahu apa yang boleh dilakukan dari sekarang hingga esok dan ia sama untuk semua orang,” katanya.

Bagnaia dan Beradik Marquez Tidak Terkejut

Sementara itu, pelumba pasukan Ducati, Francesco Bagnaia, mengakui keadaan trek ketika ini tidak jauh berbeza berbanding apa yang dialaminya sewaktu sesi ujian pramusim di Sepang.

Ketika ditanya sama ada permukaan litar kini lebih buruk berbanding tahun lalu, Bagnaia menjawab ringkas:

“Tidak, ia sama seperti ketika ujian.”

Menurutnya, keadaan itu bukan sesuatu yang mengejutkan kerana dia sudah menunggang dalam kondisi yang sama sebelum ini dan mengetahui apa yang boleh dijangkakan apabila kembali ke Sepang.

Pandangan tersebut turut dikongsikan oleh Marc Marquez dan Alex Marquez, yang menyifatkan keadaan permukaan trek hampir sama seperti ketika sesi ujian di venue berkenaan pada Februari lalu.

Dengan beberapa pelumba utama mengadu mengenai permukaan litar dan risiko batu yang terpelanting, keadaan asfalt Sepang kini muncul sebagai salah satu cabaran terbesar yang perlu dihadapi sepanjang baki hujung minggu Grand Prix Malaysia.

Menariknya, isu permukaan litar ini bukanlah sesuatu yang tidak disedari pihak pengurusan. Dalam satu episod podcast WheelTalk baru-baru ini, Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif, mendedahkan bahawa Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang pada asalnya dirancang untuk menjalani kerja penurapan semula tahun ini.

Bagaimanapun, pelaksanaan projek tersebut terpaksa ditangguhkan berikutan peningkatan mendadak kos bahan mentah, khususnya bitumen yang digunakan dalam pembinaan dan penurapan asfalt.

Menurut Azhan, konflik yang berlaku di Timur Tengah memberi kesan kepada rantaian bekalan global sekali gus menyebabkan harga bitumen meningkat berkali ganda berbanding jangkaan asal.

Keadaan itu menyebabkan SIC terpaksa menilai semula perancangan penurapan semula litar walaupun permukaan trek sudah menunjukkan tanda-tanda kehausan yang ketara selepas bertahun-tahun digunakan untuk pelbagai acara permotoran bertaraf antarabangsa.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}

Kongsi artikel ini:

Related