SEPANG: Impian untuk melihat wakil negara menaiki podium di Grand Prix (GP) Malaysia tidak kesampaian apabila Hakim Danish Ramli terlepas kedudukan tiga terbaik pada selekoh terakhir, namun aksi cemerlang yang dipamerkannya tetap mengundang pujian daripada pengurus pasukanZK Racing, Zulfahmi Khairuddin.
Pelumba muda negara itu membuktikan kemampuannya untuk bersaing dengan kelompok terbaik Moto3 apabila terlibat dalam pertarungan sengit di barisan hadapan sepanjang 15 pusingan perlumbaan sebelum menamatkan saingan di tempat keempat.
Danish beberapa kali bertukar kedudukan dalam kelompok tiga pelumba teratas dan masih berada dalam perebutan podium sehingga selekoh terakhir, namun terpaksa berpuas hati dengan kedudukan keempat selepas dilepasi dalam pertarungan yang cukup rapat.
Mengulas aksi anak didiknya itu, Zulfahmi mengakui beliau berbangga dengan semangat juang yang dipamerkan Danish sepanjang perlumbaan.
“Kalau nak cerita pasal ‘last corner’, tak sesuai nak tanya pendapat saya sebab saya pun ‘lose’ dua kali kat selekoh terakhir,” katanya berseloroh ketika ditemui media selepas perlumbaan.
Menurut bekas pelumba Moto3 negara itu, apa yang ditunjukkan Hakim Danish sepanjang minggu perlumbaan lebih penting berbanding keputusan di garisan penamat semata-mata.
“Secara keseluruhan minggu ini, kita tahu Danish mengawal emosi dan prestasinya dengan sangat baik dari awal hinggalah ke perlumbaan. Semalam saya yakin dia boleh bersaing untuk podium.
“Tetapi di Moto3, ‘last lap is last lap’. Walaupun terlepas podium kerana gagal memintas Alvaro Carpe dan Veda Pratama, saya tetap berbangga dengan prestasinya. Peminat yang hadir hari ini pun dapat menikmati perlumbaan yang hebat,” katanya.
Dalam pada itu, Zulfahmi turut mengingatkan Danish supaya tidak terlalu memikirkan kedudukan keseluruhan kejuaraan dunia ketika musim berbaki tiga pusingan lagi.
Menurutnya, fokus terhadap setiap perlumbaan secara individu merupakan pendekatan terbaik bagi mengelakkan tekanan yang tidak perlu.
“Bila kita terlalu fokus pada kedudukan kejuaraan, tekanan itu akan beralih kepada pelumba. Tetapi apabila kita fokus ‘race by race’ macam di Sepang, hasilnya lebih nampak.
“Pendekatan saya untuk Danish selepas ini adalah lalui setiap perlumbaan dengan baik dan lebih fokus. Akhirnya nanti, mata dan kedudukan itu akan datang dengan sendiri,” katanya.
Zulfahmi turut mengambil kesempatan menjelaskan isu yang dibangkitkan segelintir peminat berhubung strategi ketika sesi kelayakan, khususnya tindakan pelumba menunggu di lorong pit sebelum memulakan pusingan pantas.
Tegasnya, keputusan berkenaan bukan ditentukan pelumba tetapi merupakan sebahagian daripada perancangan taktikal pasukan.
“Dalam Moto3, situasinya memang sukar dirancang. Hanya jentera yang benar-benar kompetitif boleh bergerak bersendirian, manakala pelumba lain memerlukan ‘slipstream’ untuk mendapatkan masa terbaik.
“Keputusan keluar masuk itu dikawal oleh pasukan menerusi radio. Apabila pasukan beri arahan keluar, barulah Danish akan keluar,” jelasnya.
Bakat Pelumba Pelapis Negara
Sementara itu, Zulfahmi turut meluahkan kegembiraan terhadap perkembangan bakat-bakat muda negara yang semakin menyerlah di pentas antarabangsa.
“Saya sangat gembira dengan Qabil. Selepas kecederaan, alhamdulillah semalam dia menang. Kita bukan sahaja ada Danish, malah mempunyai pelapis mantap seperti Qabil, Qayyim dan Naqib yang mempunyai potensi besar. Perancangan masa depan mereka untuk musim depan kini sedang dalam perbincangan,” katanya.
Keputusan tempat keempat mungkin sedikit mengecewakan buat peminat tempatan yang mengharapkan podium di Sepang, namun aksi berani Danish yang bertarung dalam kelompok hadapan sehingga selekoh terakhir memberi petanda positif menjelang baki tiga pusingan musim ini.


