MotoGP bakal menyaksikan wajah baharu dalam pengurusan pasukan apabila Red Bull KTM Tech3 akan diambil alih sepenuhnya oleh konsortium yang diketuai tokoh sukan permotoran terkenal, Guenther Steiner.
Pengambilalihan ini merangkumi pasukan MotoGP dan Moto3, dengan struktur baharu dijangka berkuat kuasa pada musim 2026.
Steiner akan menyandang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), manakala rakan projeknya Richard Coleman dilantik sebagai Prinsipal Pasukan. Pengasas dan Prinsipal Pasukan sedia ada, Hervé Poncharal, akan terus memimpin Tech3 sepanjang musim ini sebelum beralih ke peranan sebagai perunding bermula tahun depan dengan menyalurkan pengalaman luas beliau serta membimbing bakat muda.
Walaupun berlaku perubahan pemilikan, pasukan ini akan kekal bertanding sebagai Tech3, menggunakan jentera KTM serta mengekalkan markas bersejarah mereka di Bormes-les-Mimosas, Perancis.
Steiner cukup dikenali dalam dunia Formula 1 sebagai pengasas dan bekas Prinsipal Pasukan Haas F1 yang lantang bersuara. Bermula sebagai jurutera rali, kerjaya beliau berkembang pesat sepanjang empat dekad, termasuk memegang jawatan kanan di Jaguar Racing dan Red Bull Racing.
“Ini adalah peluang yang luar biasa. Tech3 merupakan pasukan hebat dengan legasi yang mengagumkan. Sumbangan Hervé kepada pasukan dan MotoGP tidak ternilai, dan kami berbesar hati untuk mengambil alih serta membina kejayaan ini ke tahap seterusnya.
Kami teruja menjadi sebahagian daripada paddock MotoGP, dan mahu memaksimumkan potensi pasukan serta sukan ini untuk menarik lebih ramai peminat,” Kata steiner
Coleman pula membawa pengalaman lebih sedekad di peringkat kejuaraan dunia, khususnya dalam perlumbaan touring car, selain pernah menubuhkan firma pengurusan sukan sendiri.
Baca juga:


