Pol Espargaro akan kembali ke saingan MotoGP hujung minggu ini di Grand Prix Republik Czech (Brno) bagi menggantikan Maverick Viñalesyang mengalami kecederaan bahu ketika sesi kelayakan (Q2) minggu lalu.
Pelumba ujian Red Bull KTM itu bakal mengisi tempat kosong di garaj Red Bull KTM Tech3, bergandingan bersama Enea Bastianini, sekali gus mencatat kemunculan pertamanya dalam perlumbaan musim 2025.
“Saya Akan Cuba Lakukan Yang Terbaik” ungkapnya.
Walaupun teruja untuk kembali ke litar, Pol Espargaro menyatakan simpati terhadap nasib rakan sepasukan yang terpaksa diketepikan akibat kecederaan.
“Sudah tentu, bukan satu perkara yang menggembirakan untuk kembali ke Grand Prix kerana menggantikan pelumba yang cedera. Pertama sekali, saya ingin mengucapkan semoga cepat sembuh kepada Maverick,” kata Espargaro.
“Saya akan cuba lakukan yang terbaik hujung minggu ini dan bantu sebaik mungkin rakan sepasukan serta kru teknikal. Sudah lama kami tidak berlumba di Brno yang treknya memang menyeronokkan.
“Kali terakhir saya berlumba di sini saya berada pada prestasi terbaik bersama KTM, jadi kita lihat bagaimana keadaannya di atas permukaan baru nanti. Saya tak letakkan sebarang jangkaan, hanya mahu menikmati hujung minggu dan jadikan ia masa yang berguna untuk projek ini,” katanya.
Pengurus pasukan, Nicolas Goyon, turut mengesahkan perkembangan terkini dua pelumbanya;
“Enea Bastianini telah dibenarkan keluar dari hospital minggu lalu dan kini fokus sepenuhnya untuk pulih menjelang hujung minggu ini. Kami akan nilai tahap kecergasannya dan jika semuanya baik, dia akan teruskan tugas yang bermula di Mugello dan Assen.
“Viñales pula akan terlepas GP Czech seperti yang kami umumkan sebelum ini. Jadi, bagi memastikan kesinambungan pembangunan jentera KTM, kami sepakat dengan pihak kilang untuk membawa masuk Pol Espargaro. Dia bukan orang asing bagi kami sejak debut MotoGP hinggalah musim penuh terakhirnya pada 2023. Kami gembira menyambut kepulangan ‘kawan lama’ ke garaj kami.
Espargaro sebelum ini pernah menikmati prestasi cemerlang di litar Brno ketika zaman kegemilangannya bersama KTM. Kini, dengan permukaan litar yang telah diperbaharui, semua mata sudah pasti akan tertumpu untuk melihat sejauh mana bekas pelumba utama itu mampu bersaing kembali.
Baca juga:


