Morbidelli terlepas aksi di Czech

Pelumba Pertamina Enduro VR46 Racing Team, Franco Morbidelli, tidak akan menyertai perlumbaan Grand Prix Republik Czech minggu ini selepas belum pulih sepenuhnya daripada insiden kemalangan ketika Sprint Race di Sachsenring minggu lalu.

Selepas terlepas aksi utama pada hari Ahad di Jerman, Morbidelli pulang ke Itali untuk menjalani pemeriksaan lanjut akibat kesakitan berterusan pada bahu. Hasil keputusan pasukan dan pelumba, Morbidelli disahkan tidak akan turun ke litar di Brno namun dia tetap akan berada di paddock bagi meneruskan program pemulihan fisioterapi bersama pasukannya.

“Selepas dua hari menjalani pemeriksaan perubatan, sesi fisioterapi dan berehat, saya dan pasukan sepakat untuk menarik diri daripada GP Brno. Sukar sebenarnya membuat keputusan sebegini, tapi selepas kemalangan teruk di Sachsenring dan dengan kedudukan kejuaraan ketika ini sebelum cuti musim panas adalah tidak masuk akal untuk ambil risiko kerana kesakitan masih belum hilang,” jelas Morbidelli.

“Sudah tentu ini bukan masa yang mudah, tapi saya menerima banyak sokongan daripada pasukan, VR46 Riders Academy dan para peminat yang mahu lihat saya kembali cergas. Saya tetap akan berada di Brno hujung minggu ini untuk teruskan pemulihan bersama kru, dengan harapan saya dapat kembali beraksi di Austria nanti dalam keadaan lebih baik,” ungkapnya lagi.

Morbidelli yang kini berada di kedudukan kelima dalam carta keseluruhan kejuaraan tidak akan digantikan di Brno, menjadikan saingan pusingan ke-12 MotoGP 2025 sedikit tempang buat pasukan VR46.

Selain Morbidelli, pelumba Red Bull KTM Tech3, Maverick Viñales, turut diketepikan hujung minggu ini selepas mengalami patah bahu ketika Q2 di Sachsenring. Tempat Viñales akan diisi oleh pelumba ujian, Pol Espargaro.

Baca juga:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}

Kongsi artikel ini:

Related