MotoGP menolak tanggapan bahawa perubahan format hujung minggu perlumbaan mulai musim 2027 bakal mengorbankan keselamatan pelumba semata-mata untuk meningkatkan nilai hiburan kejuaraan.

Ketua Pegawai Sukan MotoGP, Carlos Ezpeleta mempertahankan format baharu itu selepas ditanya sama ada pertambahan sesi berintensiti tinggi boleh meningkatkan risiko kemalangan dan kecederaan dalam kalangan pelumba.
Antara perubahan terbesar pada 2027 ialah pengenalan sesi kelayakan berasingan bagi Sprint dan Grand Prix, sekali gus menghasilkan grid permulaan berbeza untuk kedua-dua perlumbaan.
Bagaimanapun, Ezpeleta menegaskan perubahan tersebut tidak semestinya bermaksud pelumba perlu mengambil lebih banyak risiko berbanding format semasa.
Menurutnya, jumlah percubaan mencatat masa pantas atau ‘time attack’ yang dilakukan pelumba sebenarnya tidak bertambah secara ketara kerana perkara sama sudah berlaku dalam sesi Practice pada petang Jumaat ketika ini.
“Kami sama sekali tidak merasakan bahawa kami mengorbankan keselamatan pelumba,” katanya dalam sesi media di Mandalika.
“Jika bercakap mengenai semua pelumba berada dalam satu sesi selama 15 minit, perkara itu sebenarnya sudah berlaku pada petang Jumaat dalam tempoh sekitar 10 minit.”

Had tayar dijangka kurangkan risiko
Ezpeleta turut menjelaskan bahawa jumlah tayar yang boleh digunakan dalam sesi kelayakan baharu akan dihadkan.
Menurutnya, faktor itu boleh menyebabkan pelumba lebih berhati-hati ketika melakukan time attack kerana kesilapan atau kemalangan membawa akibat lebih besar terhadap kedudukan grid mereka.
Berbeza dengan keadaan sekarang, peluang untuk menggunakan beberapa set tayar memberikan pelumba ruang lebih besar untuk mencuba sekali lagi sekiranya percubaan sebelumnya gagal.
“Apabila jumlah tayar dihadkan, anda sebenarnya sepatutnya kurang mengambil risiko kerana jika melakukan kesilapan, anda akan bermula dari belakang.
“Sekarang, pelumba boleh menggunakan lebih banyak tayar, jadi jika berlaku kemalangan, saya tidak mahu mengatakan ia ‘percuma’, tetapi anda mempunyai lebih banyak peluang kedua,” jelasnya.
Beliau turut menegaskan salah satu objektif perubahan 2027 adalah untuk mengurangkan keseluruhan masa pelumba berada di litar tanpa meningkatkan jumlah time attack bertekanan tinggi.
Selain itu, Practice pada Jumaat tidak lagi menentukan kemaraan terus ke Q2, sekali gus mengurangkan tekanan kepada pelumba untuk mencatat masa pantas dalam keadaan tertentu termasuk ketika cuaca tidak menentu.
MotoGP akui komunikasi perlu diperbaiki
Namun, Ezpeleta mengakui kebimbangan mengenai keselamatan mungkin turut berpunca daripada kegagalan MotoGP menjelaskan keseluruhan format baharu dengan cukup jelas kepada pelumba.
Beliau berkata beberapa komen daripada pelumba menunjukkan mereka mungkin belum memahami sepenuhnya mengenai had tayar dan jumlah time attack yang akan dilaksanakan.
“Kami mungkin perlu melakukan kerja yang lebih baik dari sudut komunikasi,” katanya.
Menurut Ezpeleta, MotoGP perlu memastikan pasukan, pelumba dan pihak berkaitan mempunyai pemahaman lebih jelas mengenai rasional di sebalik perubahan tersebut.
Format 2027 turut menyaksikan sesi warm-up pada pagi Ahad dimansuhkan, satu lagi keputusan yang mencetuskan kebimbangan dalam kalangan sebahagian pelumba kerana sesi itu digunakan untuk memeriksa keadaan jentera sebelum Grand Prix, terutama selepas kemalangan ketika Sprint.
Bagaimanapun, Ezpeleta mendedahkan terdapat juga pelumba yang secara peribadi meminta sesi warm-up dimansuhkan.
MotoGP pada masa sama menegaskan format berkenaan masih terbuka kepada penambahbaikan sekiranya diperlukan.
Dengan perubahan besar regulasi teknikal turut bermula pada 2027, perdebatan kini bukan sahaja tertumpu kepada sama ada format baharu mampu menghasilkan aksi lebih menarik, tetapi bagaimana MotoGP mengimbangi nilai hiburan dengan keselamatan dan kepentingan pelumba.

