Honda Racing Corporation (HRC) mengesahkan pelumba pembangunan mereka, Takaaki Nakagami, akan kembali beraksi dalam Kejuaraan Dunia MotoGP sebagai pelumba wild card pada Grand Prix Jepun, yang berlangsung di Mobility Resort Motegi dari 1 hingga 4 Oktober.
Perlumbaan pusingan ke-16 musim ini menyaksikan pelumba Jepun itu kembali ke litar kompetitif di hadapan penyokong sendiri selepas beralih kepada peranan sebagai pelumba pembangunan HRC sejak musim 2025.
Nakagami mula mencipta nama pada usia 14 tahun apabila menjuarai kelas GP125 Kejuaraan Lumba Motosikal Seluruh Jepun selepas memenangi kesemua perlumbaan musim tersebut, sebelum meneruskan karier ke Kejuaraan Dunia FIM.
Beliau kemudian meraih dua kemenangan dalam kategori Moto2 sebelum dinaikkan ke kelas MotoGP pada 2018, dan beraksi selama tujuh musim berturut-turut sehingga penghujung musim 2024.
Nakagami berkata peluang beraksi sebagai pelumba wild card di Grand Prix Jepun amat bermakna kerana ia membolehkan HRC menilai perkembangan jentera di bawah keadaan perlumbaan sebenar.
“Saya amat gembira kerana diberi peluang untuk berlumba di Grand Prix Jepun sebagai pelumba wild card. Acara ini memberi peluang yang sangat berharga untuk menilai kemajuan yang telah kami capai menerusi ujian dalam keadaan perlumbaan sebenar.
“Berlumba di hadapan penyokong Jepun pada Grand Prix di laman sendiri menjadikan peluang ini lebih istimewa,” katanya.
Grand Prix Jepun dijadual berlangsung di Mobility Resort Motegi dari 1 hingga 4 Oktober.


