MSBK 2026: Kasma dan Zaquan Lengkapkan Kemenangan Berganda

Perlumbaan 2 pusingan ke-3 Kejuaraan MAM Malaysia Superbike Championship (MSBK) 2026 di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang menyaksikan aksi sengit dalam semua kategori apabila beberapa pelumba mempamerkan prestasi cemerlang pada Ahad untuk mengukuhkan kedudukan dalam perebutan kejuaraan musim ini.

Pelumba Hong Leong Yamaha Malaysia, Kasma Daniel Kasmayudin, menampilkan tunggangan mantap untuk muncul juara Perlumbaan 2 kategori MSBK1000 A.

Selepas berada di belakang Mohammad Adenanta Putra (Astra Honda Racing Team) pada awal perlumbaan, Kasma mula meningkatkan rentaknya sebelum mengambil alih kedudukan pendahulu pada pusingan ketiga. Beliau kemudian terus mendominasi perlumbaan dengan mencatat masa terpantas 2’07.638 saat sebelum menamatkan perlumbaan di tempat pertama dengan catatan keseluruhan 21’29.916 saat.

Adenanta menamatkan perlumbaan di tempat kedua, manakala Adam Norrodin (AMI Suzuki Motorsport) melengkapkan kedudukan podium.

Kasma mengakui kemenangan itu menjadi sasaran utamanya dan menganggap perlumbaan tersebut sebagai persiapan terbaik menjelang saingan ARRC Pusingan 4.

Dalam kategori MSBK1000 B pula, Santhiran A/L Naga Raju (Racehub Racing Team) meneruskan prestasi cemerlang apabila meraih kemenangan kedua berturut-turut sekali gus dinobatkan sebagai Weekend Champion.

Bermula dari petak hadapan, Santhiran menguasai perlumbaan dari awal hingga garisan penamat tanpa memberi ruang kepada pencabar lain. Beliau menamatkan perlumbaan dengan masa 23’01.415 saat, diikuti Jeff Chong dan Alvinderjitsingh.

Santhiran berkata permulaan yang baik menjadi kunci kejayaannya sebelum berjaya mengekalkan rentak konsisten sepanjang perlumbaan.

MSBK600

Kategori MSBK600 pula menjadi milik pelumba Honda Racing Thailand, Thanat Laoongplio, yang mempamerkan aksi dominan dari awal hingga akhir.

Thanat terus mendahului sebaik perlumbaan bermula dan semakin melebarkan jurang ke atas pencabar-pencabarnya dengan catatan masa terpantas 2’11.349 saat. Beliau akhirnya menamatkan perlumbaan dengan masa 22’06.296 saat, meninggalkan Muhd Helmi Azman lebih tujuh saat di belakang.

Helmi menamatkan perlumbaan di tempat kedua manakala rakan senegaranya, Kitsada Tanachot, melengkapkan podium. Khairul Idham Pawi dan Farres Putra Mohd Fadhil melengkapkan kelompok lima terbaik.

MSBK250

Kategori MSBK250 A menyajikan antara perlumbaan paling mendebarkan hujung minggu apabila pelumba Indonesia, Irfan Ardiansyah, melakukan potongan pada saat-saat akhir untuk meraih kemenangan.

Md Irfan Haykhal Amidi (Motul Honda Racing Malaysia) mendahului hampir keseluruhan perlumbaan sebelum Irfan Ardiansyah melakukan serangan pada pusingan terakhir. Walaupun Haykhal sempat merampas semula kedudukan pendahulu, Irfan berjaya memanfaatkan ruang di selekoh terakhir untuk memintas dan memenangi perlumbaan dengan masa 19’35.995 saat.

Haykhal menamatkan perlumbaan hanya 0.293 saat di belakang pemenang, manakala Ahmad Afif Amran melengkapkan podium selepas pertarungan empat penjuru yang berlangsung hingga ke garisan penamat.

MSBK250 B

Pelumba Filipina, Carlsen Jacob Solis (FCC-Honda Philippines Inc Racing Team), turut melengkapkan kemenangan berganda apabila menguasai kategori MSBK250 B.

Selepas memenangi Perlumbaan 1, Carlsen sekali lagi mendominasi Perlumbaan 2 dari awal hingga akhir untuk muncul juara dengan masa 20’12.428 saat, sekali gus dinobatkan sebagai Weekend Champion.

Kabilesh Rajini Krishnan muncul naib juara, manakala Ng Wei Shyang menamatkan perlumbaan di tempat ketiga.

Yamaha R15M Race Elites

Sementara itu, kategori Berjaya Sompo Yamaha R15M Race Elites menyaksikan Ashraff Zaquan Zainal Raif (Liang Soon Motor) melengkapkan kemenangan berganda selepas sekali lagi muncul juara Perlumbaan 2.

Perlumbaan berlangsung cukup sengit dengan kedudukan pendahulu silih berganti sebelum Zaquan melakukan serangan terakhir di selekoh terakhir untuk meraih kemenangan dengan masa 20’29.051 saat.

Ahmad Jebat Zulkarnain Md Nazrun menamatkan perlumbaan di tempat kedua, diikuti Shazrel Aqief Hakimy di tempat ketiga.

Zaquan menyifatkan kesabarannya menunggu peluang pada penghujung perlumbaan menjadi faktor utama kejayaan meraih kemenangan berganda pada hujung minggu tersebut.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}

Kongsi artikel ini:

Related