Perebutan Juara Dunia Moto2 masih terbuka

Perlumbaan kelas Moto2 Grand Prix Malaysia 2025 berlangsung penuh dramatik di Litar Antarabangsa Sepang apabila Jake Dixon (ELF Marc VDS Racing Team) muncul juara selepas perlumbaan terpaksa dihentikan dengan bendera merah.

Pelumba Britain itu mengambil alih kedudukan pendahulu pada pusingan ketiga selepas perlumbaan disambung semula dan beliau tidak lagi menoleh ke belakang, dan terus menamatkan saingan di hadapan David Alonso (CFMOTO RCB Aspar Team) dan Barry Baltus (Fantic Racing).

Insiden awal melibatkan Joe Roberts (OnlyFans American Racing Team) di selekoh kelima menyebabkan perlumbaan dihentikan buat sementara waktu. Selepas permulaan semula, perlumbaan disingkatkan kepada 11 pusingan.

Daniel Holgado (CFMOTO RCB Aspar Team) sekali lagi melakukan permulaan sempurna sebelum Dixon mengekori rapat bersama Albert Arenas (ITALJET Gresini Moto2). Pelumba Britain itu berjaya memintas Holgado di Selekoh 4 pada pusingan ketiga, seterusnya menjarakkan diri dengan rentak yang konsisten hingga ke garisan penamat.

Di belakang, perebutan kejuaraan semakin sengit antara Manuel Gonzalez (LIQUI MOLY Dynavolt Intact GP) dan Diogo Moreira (Italtrans Racing Team). Gonzalez ketika itu berada dalam kelompok lima teratas sebelum terjatuh di Selekoh 15 dengan hanya tiga pusingan berbaki, sekali gus memberi peluang kepada Moreira untuk naik ke tempat kelima dan merampas kedudukan pendahulu keseluruhan kejuaraan dunia buat kali pertama musim ini dengan kelebihan sembilan mata.

Dixon menamatkan perlumbaan untuk meraih kemenangan ketujuh kariernya dalam Moto2 dan ketiga musim ini. Alonso pula meraih podium keempat musim ini ,dua daripadanya secara berturut-turut sementara Baltus mengekalkan kedudukan dalam perebutan gelaran dengan berada 35 mata di belakang pendahulu.

Holgado menamatkan saingan di tempat keempat, mengukuhkan statusnya sebagai Rookie Terbaik 2025, diikuti Moreira di tempat kelima. Arenas, Muñoz, Escrig, Veijer dan Arbolino melengkapkan kelompok 10 terbaik.

Dengan hanya dua perlumbaan berbaki, perebutan gelaran dunia Moto2 kini semakin terbuka antara Moreira, Gonzalez, Dixon dan Baltus, menjanjikan penamat musim yang penuh mendebarkan.

Baca juga:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}

Kongsi artikel ini:

Related