Furusato rangkul kemenangan pertama

Perlumbaan kelas Moto3 Grand Prix Malaysia 2025 bermula lewat daripada jadual asal selepas berlaku insiden ketika pusingan pemanasan (sighting lap) yang melibatkan dua pelumba Noah Dettwiler (CIP Green Power) dan Jose Antonio Rueda (Red Bull KTM Ajo).

Kedua-duanya telah dibawa ke hospital menggunakan helikopter perubatan, menyebabkan perlumbaan terpaksa ditunda sementara menunggu helikopter berkenaan kembali ke Litar Antarabangsa Sepang.

Apabila perlumbaan akhirnya dimulakan semula dengan jarak 10 pusingan, pelumba Jepun Taiyo Furusato (Honda Team Asia) menampilkan aksi cemerlang untuk meraih kemenangan pertama dalam kariernya, menamatkan saingan di hadapan Angel Piqueras (FRINSA – MT Helmets – MSI) dan Adrian Fernandez (Leopard Racing).

Furusato bermula dengan baik selepas mengambil alih kedudukan teratas sebaik perlumbaan bermula, diikuti David Almansa (Leopard Racing) dan Maximo Quiles (CFMOTO Power Electronics Aspar Team). Almansa sempat merampas kedudukan pertama pada pusingan ketiga, namun Furusato pantas memintas semula untuk kembali mendahului.

Di pertengahan perlumbaan, Guido Pini (Liqui Moly Dynavolt Intact GP) berjaya menempatkan diri di kedudukan kedua sebelum diserang semula oleh Quiles dan Adrian Fernandez, yang mula meningkat pantas dari barisan keempat. Ketika itu, tiga jentera Honda menguasai kedudukan teratas dengan Furusato mendahului sekitar satu saat di hadapan Fernandez dan Almansa.

Persaingan sengit terus berlaku dalam kelompok podium apabila Almansa kehilangan kawalan di selekoh terakhir pada pusingan kelapan dan terpaksa berpuas hati di tempat keenam, manakala Pini pula terjatuh ketika cuba memintas Fernandez di selekoh ke-15.

Ketika masuk ke pusingan terakhir, Furusato semakin jauh meninggalkan pesaingnya sementara perebutan tempat kedua berakhir apabila Fernandez mengalami gelinciran besar di selekoh kesembilan, memberi ruang kepada Piqueras untuk meraih tempat kedua.

Furusato akhirnya melintasi garisan penamat dengan selesa, sekaligus menghadiahkan kemenangan pertama Honda pada musim 2025. Piqueras di tempat kedua dan Fernandez ketiga, menjadikan tiga jentera Honda berada dalam kelompok empat teratas.

Ryusei Yamanaka (FRINSA – MT Helmets – MSI) menamatkan saingan di tempat kelima diikuti Alvaro Carpe (Red Bull KTM Ajo) di tempat keenam. Maximo Quiles pula menamatkan saingan di tempat ketujuh dan dinobatkan sebagai Rookie of the Year 2025, mengatasi Scott Ogden (CIP Green Power) yang bangkit dari tempat ke-15 untuk menamatkan perlumbaan di tempat kelapan, keputusan terbaiknya sejak GP Assen.

Hakim Danish (AEON CREDIT SIC Racing MSI), pelumba wildcard tuan rumah, sempat mencuri perhatian apabila mencatatkan pusingan terpantas perlumbaan, namun malangnya terpaksa bersara awal akibat masalah teknikal pada jenteranya.

Baca juga:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}

Kongsi artikel ini:

Related