Valentin Perrone (Red Bull KTM Ajo) membuktikan kematangannya sebagai pendatang baharu apabila meraih petak utama pada sesi kelayakan Moto3 di Litar Dunia Misano Marco Simoncelli, hari ini.
Ini merupakan kali kedua Perrone bermula dari grid teratas musim ini selepas Austria, dengan catatan masa pantas yang dilakukan di penghujung sesi. Kejayaan Perrone turut melengkapkan dominasi barisan hadapan KTM apabila Joel Kelso (LEVELUP-MTA) menempah tempat kedua dan Jacob Roulstone (Red Bull KTM Tech3) melengkapkan kedudukan tiga teratas sekaligus menjadi penampilan sulungnya di barisan hadapan.
Saingan sesi kelayakan 1 (Q1) menyaksikan Ruche Moodley (DENSSI – BOE Motorsport), Alvaro Carpe (Red Bull KTM Ajo) dan Luca Lunetta (SIC58 Squadra Corse) berjaya menempah tiket ke Q2, manakala rakan sepasukan Carpe, Stefano Nepa turut menyertai perebutan petak utama.
Bagaimanapun, sesi kelayakan 2 (Q2) berlangsung penuh drama apabila David Almansa (Leopard Racing) terjatuh di selekoh kedua, sekaligus menyebabkan Guido Pini (LIQUI MOLY Dynavolt Intact GP) turut terseret keluar.
Saat-saat terakhir menyaksikan David Muñoz (LIQUI MOLY Dynavolt Intact GP) hampir meraih petak utama, namun usaha tersebut digagalkan oleh catatan masa cemerlang Perrone. Juara dunia sementara, Jose Antonio Rueda (Red Bull KTM Ajo), mengetuai barisan kedua dari petak keempat diikuti Muñoz dan Adrian Fernandez (Leopard Racing) sebagai pelumba Honda terpantas.
Barisan ketiga dihuni Taiyo Furusato (Honda Team Asia), Ryusei Yamanaka (FRINSA – MT Helmets – MSI) dan Maximo Quiles (CFMOTO Gaviota Aspar Team) yang melakukan kesilapan pada pusingan terakhirnya. Angel Piqueras (FRINSA – MT Helmets – MSI), yang kini di tempat kedua dalam kejuaraan, hanya mampu bermula dari kedudukan ke-11. Sementara itu, Almansa akan bermula dari grid ke-13 manakala Pini dari ke-16 selepas insiden kemalangan mereka.
Baca juga:


