Sabtu yang suram buat Joan Mir (Honda HRC Castrol) apabila Juara Dunia MotoGP 2020 itu terpaksa menamatkan aksi lebih awal di Grand Prix San Marino selepas mengalami kemalangan pada sesi latihan bebas Jumaat.
Walaupun disahkan cergas (fit) untuk berlumba, Mir yang terjatuh di selekoh 9 telah membuat keputusan bersama pasukannya untuk tidak meneruskan perlumbaan pada hari ini kerana mengalami kekangan pergerakan pada bahagian leher.
Sepanjang musim 2025, Mir berjaya meraih beberapa keputusan 10 terbaik, dan kini berharap dapat kembali beraksi pada perlumbaan utama Ahad.
Pengurus pasukan, Alberto Puig turut menjelaskan keadaan terkini pelumba Sepanyol itu secara terperinci kepada media hari ini.
“Dia terlibat dalam kemalangan besar semalam. Tiada bukti kecederaan patah, tetapi terdapat tekanan kuat pada bahagian servikal lehernya. Doktor sudah memeriksa, namun pagi ini dia masih rasa sakit dan sukar bergerak.
“Jadi kami memutuskan untuk berhenti hari ini agar dia boleh berehat. Dia tidak akan sertai perlumbaan sprint, tetapi kami akan lihat sama ada dia mampu turun beraksi pada perlumbaan esok,” katanya.
Dalam pada itu, Pasukan Honda Racing Corporation (HRC) turut mengeluarkan kenyataan menerusi laman media sosial mereka.

“Selepas terjatuh semalam, @joanmir36official masih mengalami ketidakselesaan serius serta kekangan pergerakan pada leher. Walaupun telah disahkan cergas, Mir dan pasukan memilih untuk menarik diri daripada aksi hari ini untuk memberi fokus kepada pemulihan menjelang Ahad.
Setakat pusingan Misano, Joan Mir menghuni kedudukan ke-18 dalam carta kejuaraan dunia MotoGP 2025 dengan kutipan 50 mata. Konsistensi di beberapa perlumbaan terdahulu, termasuk beberapa penamat dalam kelompok 10 terbaik, membuktikan peningkatan prestasi Mir bersama Honda musim ini walaupun masih bergelut untuk menyaingi jentera pasukan utama lain.
Baca juga:


