Persekutuan Motosikal Antarabangsa (FIM) dan Dorna Sports mengumumkan bahawa Kejuaraan Dunia FIM MotoE akan direhatkan bermula hujung musim 2025.
Keputusan itu dibuat selepas tujuh musim berlangsung, dengan siri perlumbaan motosikal elektrik ini gagal mencapai sasaran dari segi sambutan peminat dan perkembangan pasaran motosikal elektrik berprestasi tinggi.
Pihak MotoGP memaklumkan telah berunding rapat dengan industri motosikal dan pihak berkepentingan untuk mengenal pasti masalah yang dihadapi, dilihat tidak mendapat daya tarikan yang mencukupi dalam kalangan penonton, manakala pasaran motosikal elektrik pula tidak berkembang seperti dijangka.
Setakat ini, pihak FIM dan MotoGP sedang memberi tumpuan kepada pembangunan enjin pembakaran dalaman yang lebih efisien, bersama penggunaan 100 peratus bahan api bukan fosil menjelang 2027 sebagai satu langkah jelas dalam mengembalikan semula sukan ini ke tahap lebih tinggi dan mengimplikasikan konsep Racing for the Future.
“Hari ini kami mengumumkan penggantungan Kejuaraan Dunia MotoE bermula hujung musim ini. Walaupun pelbagai usaha telah dilakukan untuk mempromosikan kategori inovatif ini, hakikatnya objektif kami masih tidak tercapai, sama seperti industri motosikal elektrik berprestasi tinggi.
‘Perlumbaan tetap hebat, dan saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pelumba, pasukan, serta Dorna. Bersama-sama kita bersedia untuk masa depan dan inovasi baharu,” ujar Presiden FIM,Jorge Viegas.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Dorna Sports, Carmelo Ezpeleta menambah dengan menyatakan MotoE telah banyak melahirkan pelumba berbakat dunia.
“MotoE telah menyajikan aksi di trek yang menakjubkan dan melahirkan juara sepanjang perjalanannya. Ia memainkan peranan penting dalam misi MotoGP untuk terus berinovasi tanpa rasa takut. Namun, kami juga perlu mendengar peminat, menghubungkan dengan penonton baharu, dan menilai perkembangan pasaran.
Dengan itu, bersama FIM, kami membuat keputusan bahawa masa yang sesuai telah tiba untuk menggantung MotoE. Terima kasih kepada semua pelumba, pasukan, Ducati, rakan kongsi, dan semua pihak yang menjayakan MotoE sejak 2019.
MotoGP dan FIM menegaskan bahawa mereka akan terus memantau arah tuju industri serta perkembangan teknologi mampan lain. MotoE boleh dipertimbangkan semula pada masa depan sekiranya motosikal elektrik atau teknologi alternatif lain kembali relevan dalam landskap perlumbaan global.
Baca juga:


