Jack Miller sah terus bersama Yamaha

Yamaha Motor Co., Ltd. dan Prima Pramac Yamaha MotoGP mengumumkan lanjutan kontrak Jack Miller sebagai pelumba rasmi Yamaha bagi musim 2026.

Dengan pengumuman ini, pasukan tersebut melengkapkan barisan pelumba untuk musim hadapan, yang akan menyaksikan Miller bergandingan bersama pendatang baharu MotoGP dan juara dunia Superbike dua kali, Toprak Razgatlıoğlu.

Miller, yang kembali menyarung warna Pramac Racing pada musim ini selepas pernah beraksi bersama pasukan tersebut antara 2018 hingga 2020, telah memainkan peranan penting dalam pembangunan jentera YZR-M1 pada musim debutnya bersama Yamaha. Setakat ini, pencapaian terbaiknya ialah tempat kelima di Grand Prix Americas di Austin.

“Saya sangat gembira dan teruja untuk terus bersama Yamaha dan Prima Pramac Yamaha MotoGP. Tahun ini merupakan satu pengalaman luar biasa kembali ke Pramac Racing. Saya mahu terus bekerja keras dengan Yamaha untuk membantu membangunkan jentera dan merapatkan jurang dengan pengeluar lain. Saya yakin yang terbaik masih menanti.

“Terima kasih kepada Yamaha, Pramac Racing, dan kedua-dua Paolo Pavesio dan Campinoti atas kepercayaan berterusan terhadap sumbangan saya dalam projek ini,” ujar Miller.

Pada masa yang sama, pasukan turut merakamkan penghargaan kepada Miguel Oliveira yang telah menjadi sebahagian penting dalam tahun sulung kerjasama Yamaha bersama Pramac.

Walaupun dibelenggu kecederaan di Argentina yang memaksanya terlepas empat Grand Prix, Oliveira tetap menunjukkan profesionalisme tinggi serta semangat berpasukan dalam membantu pembangunan YZR-M1.

Dalam pada itu, Pengarah pasukan Gino Borsoi turut menambah dengan menyatakan kegembiraanya tentang berita pengesahan Jack yang akan terus bersama pasukan itu untuk musim depan.

“Saya sangat gembira Jack akan kekal bersama kami musim depan. Selepas beberapa bulan bersama, kami lebih mengenali antara satu sama lain dan faham apa yang dia perlukan. Saya yakin kami boleh terus maju. Dua tahun adalah tempoh tepat untuk menyempurnakan semua aspek dan kami sudah pun bersedia merangka persiapan 2026.

“Pada masa sama, saya juga berterima kasih kepada Miguel atas kerja kerasnya. Saya kesal kecederaan di awal musim tidak memberinya peluang menunjukkan bakat sebenar, tetapi saya berharap baki perlumbaan musim ini mampu mencerminkan nilai sebenarnya,” ungkapnya.

Dengan Miller dan Razgatlıoğlu sah sebagai pelumba untuk 2026, Prima Pramac Yamaha MotoGP kini memasuki fasa baru dengan gabungan pengalaman, semangat juang, dan bakat besar untuk terus mencabar podium musim depan.

Baca juga:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}

Kongsi artikel ini:

Related