Berita yang dinanti-nantikan akhirnya tiba apabila Juara Dunia MotoGP 2024, Jorge Martin mengumumkan bakal membuat kemunculan semula di litar hujung minggu ini sempena Qatar Airways Grand Prix of Qatar di Litar Antarabangsa Lusail.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh pasukan Aprilia, Martin meluahkan rasa gembira dan keterujaannya untuk kembali semula bersama jenteranya selepas sekian lama menjalani pemulihan.
“Saya amat teruja untuk kembali ke litar dan gembira sekurang-kurangnya dapat mencuba untuk berlumba di Qatar.
Martin juga mengakui bahawa tahap kecergasannya masih belum sepenuhnya pulih dan objektifnya hanyalah untuk mula membina semula keyakinan serta mendapatkan kembali rentak.
“Matlamat saya adalah untuk mencari semula keyakinan bersama RS-GP25 dan mula merasai semula litar. Saya tak pasti tahap kecergasan saya. sudah tentu bukan 100%. Tapi kami akan cuba buat yang terbaik dan perbaiki secara berperingkat.
“Secara fizikal, saya sendiri tak pasti sama ada mampu menamatkan perlumbaan, tapi kalau berjaya, itu sudah satu kemenangan bermakna proses pemulihan saya sedang bermula. Kami perlu ambil langkah demi langkah untuk kembali ke tahap sebenar secepat mungkin.
Pelumba Aprilia Racing itu sebelum ini terpaksa direhatkan sejak mengalami kecederaan serius pada tangan kanan dan kaki kiri semasa Ujian Pra-Musim di Sepang. Belum sempat pulih sepenuhnya, Martin kemudian terlibat dalam satu lagi insiden ketika latihan menjelang GP Thailand, yang menyebabkan patah radius dan scaphoid di tangan kiri, serta patah tumit kaki kiri.
Disebabkan kecederaan berganda ini, Martin terpaksa menarik diri daripada tiga pusingan awal musim iaitu GP Thailand, GP Argentina dan GP Amerika.
Kini, segala tanda menunjukkan pelumba dengan nombor plat #1 itu bakal kembali menunggang jentera RS-GP25 milik Aprilia di Lusail, tertakluk kepada pemeriksaan perubatan terakhir pada hari Khamis.
Baca juga: