Tekan sini untuk pembelian tiket rasmi MotoGP Malaysia

‘Saya tidak sangka proses pemulihan boleh selama ini’- Jorge Martin

Juara bertahan MotoGP, Jorge Martin, baru-baru ini memberi gambaran lebih dekat mengenai proses pemulihannya menerusi episod pertama vlog terbaharunya di YouTube, yang mencatat kisah suka duka sepanjang tempoh kecederaannya.

Pelumba Sepanyol itu mencipta sejarah sebagai juara satelit pertama dalam era MotoGP bersama Pramac pada musim lalu, namun musim 2025 bermula dengan cabaran getir buatnya. Martin hanya sempat melengkapkan 13 pusingan sesi ujian pra-musim di Sepang sebelum mengalami kecederaan pada tangan kanan dan kaki kiri.

Beliau pada awalnya dijangka akan kembali untuk aksi pembukaan musim di Thailand, namun malangnya terjatuh sewaktu menjalani latihan di atas motosikal supermoto pada 24 Februari, yang menyebabkan kecederaan serius pada pergelangan tangan kiri.

Sejak insiden itu, Martin tidak dapat berlumba dan masih dalam proses pemulihan. Dalam vlog yang turut merakamkan rutin hariannya termasuk ketika menyediakan sarapan, Martin sempat bergurau mengenai tahap kecergasannya:

“Baru-baru ni Massimo Rivola telefon saya tanya berapa kilo saya naik masa cedera… Saya jawab dua kilo. Tapi sebenarnya, empat! Tapi sekarang saya dah mula bersenam balik, cepat je saya boleh capai semula berat ideal,” katanya sambil tersenyum.

Kini, Martin menjalani rejim pemulihan yang merangkumi latihan kekuatan, kardio serta rawatan khusus untuk pergelangan tangan dan kakinya, termasuk terapi dalam ruang hiperbik (hyperbaric chamber). Namun prosesnya perlahan dan mencabar.

“Dua minggu pertama memang sangat sukar. Mula timbul rasa ragu, adakah saya boleh kembali seperti dulu? Tapi sekarang saya dah nampak sinar harapan sebab dah boleh mula berlatih.

“Minggu-minggu terkurung dalam rumah memang menyeksakan saya… Tapi sekarang saya dah boleh makan dengan baik, boleh ketawa, boleh batuk pun tak sakit dan dulu rusuk saya sakit setiap kali batuk.”

Martin sebelum ini tidak pernah terlepas sebarang perlumbaan MotoGP sejak musim rookie-nya pada 2021, kecuali tiga pusingan selepas kemalangan ngeri di Portimao yang menyebabkan beberapa keretakan.

“Saya tak sangka kecederaan kali ini boleh ambil masa selama ini untuk pulih,” luahnya sambil berbasikal dalam vlog tersebut.

“Masa Portimao dulu pun susah, tapi lepas sebulan saya dah boleh menunggang semula. Tapi sekarang dah enam minggu, dan saya masih belum tahu bila boleh kembali ke litar.

“Tapi tak ada pilihan lain. Kami terus berusaha, satu hari pada satu masa, dan itu jadi motivasi saya sekarang.”

Sebelum ini dalam satu wawancara, dia turut mengimbas kembali perjalanan kariernya, cabaran kecederaan yang pernah dihadapinya, serta detik penting apabila Ducati membuat keputusan pada Jun 2024 di Mugello untuk tidak menyambung kontraknya.

“Itulah kehidupan. Anda perlu menyesuaikan diri dan belajar. Saya hanya fokus untuk satu perkara: memenangi Kejuaraan Dunia. Saya tidak berdendam dengan sesiapa. Saya sukakan cabaran, dan tiada cabaran lebih besar daripada cuba memenangi gelaran sekali lagi dengan jentera yang belum pernah menjuarai Kejuaraan Dunia sebelum ini. Jadi, saya gembira,” jelasnya.

Martin telah disahkan tidak akan menyertai tiga pusingan awal musim, termasuk Grand Prix di COTA hujung minggu ini. Namun, ada kemungkinan pelumba berbakat ini akan kembali dalam GP Qatar pada 11 hingga 13 April nanti.

Pelumba Sepanyol itu turut mengakui bahawa menyaksikan perlumbaan dari rumah tanpa dapat bersaing adalah sesuatu yang sangat mencabar baginya. Dalam ketiadaannya, Marc Marquez (Ducati Lenovo Team) telah menguasai musim ini dengan cemerlang. Namun, perkara ini tidak mengejutkan Martin.

“Marc menang bukanlah sesuatu yang tidak dijangka oleh sesiapa.

Beliau turut mengulas mengenai prestasinya ketika ini yang jelas lebih ketinggalan berbanding pelumba-pelumba lain di atas litar.

“Berbanding pelumba lain, saya sudah ketinggalan sekurang-kurangnya 5,000 km dari segi jarak latihan. Jadi, saya perlu kembali secepat mungkin dan memahami motosikal ini. Semuanya berlaku dengan sebab tertentu. Ini akan membuatkan kami kembali lebih kuat,” ungkapnya lagi.

Untuk rekod, kemenangan pertama MotoGP Martin hadir hanya beberapa pusingan selepas pulih daripada insiden Portimao 2021, menjadikannya pelumba satelit pertama yang meraih kemenangan bersama Ducati ketika itu.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}

Kongsi artikel ini:

Related