Hakim Danish sedia cipta sejarah di laman sendiri

Pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli, bersedia menempuh satu lagi langkah besar dalam kariernya apabila bakal beraksi sebagai Wildcard dalam saingan Moto3 World Championship sempena PETRONAS Grand Prix of Malaysia 2025 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Perlumbaan di laman sendiri ini dijangka menjadi detik istimewa buat pelumba berusia 17 tahun itu, yang kini semakin mencuri perhatian di pentas antarabangsa.

“Sudah tentu, saya sangat gembira menjelang minggu perlumbaan MalaysianGP ini. Ini adalah impian saya untuk beraksi dalam World Championship, dan saya akan memberikan yang terbaik sepanjang minggu perlumbaan.

“Sebagai persiapan, saya telah menjalani dua hari ujian dengan hampir 100 pusingan di Litar Sepang. Ia membantu saya mencari persediaan yang sesuai dan menyesuaikan diri dengan jentera ini, yang berbeza berbanding jentera yang saya tunggang dalam Red Bull Rookies Cup dan JuniorGP. Jentera ini lebih laju dan lebih fleksibel ketika masuk dan keluar selekoh, dan saya sangat menantikan sesi latihan 1 nanti,” ujar Hakim Danish dengan penuh semangat.

Hakim Danish sebelum ini telah menjalani sesi ujian rasmi selama dua hari pada 8 dan 9 Oktober 2025, dengan hampir 100 pusingan dicatatkan bagi menyesuaikan diri dengan jentera Moto3 baharu yang lebih berkuasa berbanding motosikal yang digunakannya dalam Red Bull MotoGP Rookies Cup dan FIM JuniorGP.

Menurut Danish, jentera kali ini memberikan sensasi tunggangan yang sangat berbeza lebih pantas, lebih responsif, dan memerlukan ketepatan tinggi ketika keluar masuk selekoh di litar sepanjang 5.543 kilometer itu.

Barisan teknikal pasukan ini turut menampilkan gabungan tenaga mahir daripada FIM JuniorGP World Championship dan ZK Racing, menjadikan persiapan mereka lebih mantap bagi menghadapi minggu perlumbaan di Sepang.

Sebelum ini, Pasukan rasmi Hakim Danish untuk aksi kali ini, AEON Credit SIC Racing MSi, telah diperkenalkan secara rasmi pada 15 Oktober 2025 dengan AEON Credit Service (M) Bhd sebagai penaja utama program wildcard berprestij tersebut.

Dalam pada itu, para peminat sukan permotoran tanah air turut berpeluang untuk bertemu secara langsung dengan pelumba muda berbakat ini di booth AEON Credit (B04–B07) di kawasan Mall Area, di mana sesi Meet & Greet, tandatangan poster, dan peluang bergambar eksklusif bersama Hakim Danish hujung minggu ini.

Baca juga:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}

Kongsi artikel ini:

Related