Menjelang pertengahan musim 2025, perbincangan hangat mengenai pasaran perpindahan pelumba MotoGP musim 2026 semakin rancak. Namun, satu lagi topik mula mencuri perhatian apabila melibatkan masa depan pasukan Red Bull KTM Tech3 yang dikendalikan oleh Hervé Poncharal.
Ketika Grand Prix Aragon, Poncharal mendedahkan wujud perbincangan serius berkenaan kemungkinan kerjasama atau bahkan penjualan keseluruhan pasukan kepada bekas Ketua Pasukan F1 Haas, Guenther Steiner, yang dilihat hadir di dua pusingan MotoGP musim ini, iaitu GP Amerika dan GP British.
“Saya sentiasa berasa gembira apabila ada pihak yang berminat untuk melabur,” ujar Poncharal.
“Menjelang 2027, MotoGP akan memasuki era baharu dengan perubahan teknikal yang besar. Saya perlu bersedia dari sekarang. Meskipun perjanjian saya sekarang sangat kukuh, saya perlukan pelan B jika situasi berubah selepas 2026,” katanya lagi kepada media.
“Saya gemar berbincang dengan Steiner. Beliau seorang yang jujur dan mudah untuk berbual. Sama ada beliau muncul sebagai pemegang saham atau mengambil alih keseluruhan pasukan, semuanya masih dalam peringkat perbincangan.
Selain Steiner, Poncharal mendedahkan bahawa terdapat beberapa lagi pelabur yang sedang dalam pertimbangan. Katanya, setiap tawaran yang diterima mempunyai potensi tersendiri dan keputusan penting perlu dibuat sebelum akhir tahun ini.
Namun, beliau memberi jaminan bahawa walau apa pun bentuk kerjasama masa depan, beliau tetap akan memainkan peranan penting dalam memastikan struktur dan identiti Tech3 kekal utuh dalam paddock MotoGP.
Poncharal turut menegaskan bahawa hubungan Tech3 dengan KTM kekal kukuh dan komited sehingga akhir musim 2026.
“Saya mempunyai kontrak sah bersama KTM dan menghargai sepenuhnya kerjasama ini. Buat masa ini, tiada perbincangan dengan mana-mana pengeluar lain. Fokus kami kekal bersama KTM, dan harapan saya adalah untuk terus menjadi pasukan sokongan KTM sehingga 2031 mungkin dengan wajah baharu dari segi warna atau pelabur.
Apabila ditanya mengenai tarikh rasmi pengumuman keputusan muktamad tersebut, Poncharal menjelaskan bahawa mereka masih memerlukan sedikit masa untuk membuat pertimbangan yang teliti, dan keputusan rasmi dijangka akan diumumkan sekitar September atau Oktober.
Baca juga:


