Phillip Island, Australia – Aksi penuh dramatik di Litar Phillip Island menyaksikan Raul Fernandez (Trackhouse MotoGP Team) mencipta kemenangan sulungnya dalam kelas perdana MotoGP selepas menampilkan tunggangan sempurna sepanjang perlumbaan utama Grand Prix Australia.
Lebih manis, kejayaan itu turut menghadiahkan kemenangan pertama buat pasukannya, Trackhouse MotoGP Team, sepanjang sejarah penyertaan mereka.
Fernandez menamatkan perlumbaan dengan kelebihan 1.4 saat di hadapan pelumba Fabio Di Giannantonio (Pertamina Enduro VR46 Racing Team) yang bangkit hebat dari petak ke-10 untuk menamatkan saingan di tempat kedua.
Sementara itu, Marco Bezzecchi (Aprilia Racing) menunjukkan semangat luar biasa apabila berjaya menutup podium di tempat ketiga meskipun terpaksa menjalani dua penalti Long Lap.
Sorotan perlumbaan
Bezzecchi memulakan perlumbaan dengan cukup baik dari barisan hadapan dan merampas kedudukan pendahulu seawal selekoh pertama. Fernandez pantas mengekorinya di tempat kedua, diikuti pelumba muda sensasi Pedro Acosta (Red Bull KTM Factory Racing). Ketiga-tiganya membina jurang kecil daripada kumpulan belakang yang diketuai Fabio Quartararo (Monster Energy Yamaha MotoGP).
Namun, pelan Bezzecchi terjejas apabila menerima notis penalti dua Long Lap pada pusingan kedua. Dalam usahanya membina kelebihan masa sebelum melaksanakan penalti itu, beliau terus mengekalkan rentak laju tetapi akhirnya terpaksa masuk ke laluan Long Lap pada pusingan kelima, sekali gus memberi peluang kepada Fernandez untuk mengambil alih kedudukan pendahulu.
Ketika penonton Australia menaruh harapan kepada Jack Miller (Prima Pramac Yamaha MotoGP), malang menimpa apabila pelumba tuan rumah itu terjatuh di selekoh keenam. Sementara itu, Fernandez terus menjarakkan diri daripada Acosta dan Alex Marquez (BK8 Gresini Racing MotoGP).
Di pertengahan perlumbaan, Fernandez mendahului dengan jarak hampir tiga saat, manakala Di Giannantonio dan Bezzecchi mula memberi tekanan dari belakang. Bezzecchi yang sudah menamatkan penalti berganda, mula merapatkan kedudukan selepas menewaskan Quartararo dan Acosta untuk berada dalam kelompok lima terbaik.
Masuk ke 10 pusingan terakhir, Fernandez kekal konsisten dan tidak goyah meskipun pelumba lain mula meningkatkan tempo. Di Giannantonio sempat memintas Marquez untuk tempat kedua, namun gagal mendekati Fernandez yang kekal unggul di hadapan.
Bezzecchi pula terus mempamerkan aksi berani apabila menewaskan Marquez pada pusingan terakhir untuk meraih podium ketiga satu pencapaian luar biasa setelah bermula dengan penalti.
Fernandez menamatkan perlumbaan 1.6 saat di depan pada garisan penamat satu kemenangan bergaya yang menandakan kemunculan bintang baharu dalam dunia MotoGP.
Keputusan 10 Teratas Grand Prix Australia 2025
- Raul Fernandez (Trackhouse MotoGP Team)
- Fabio Di Giannantonio (Pertamina Enduro VR46 Racing Team) +1.4s
- Marco Bezzecchi (Aprilia Racing) +2.4s
- Alex Marquez (BK8 Gresini Racing MotoGP)
- Pedro Acosta (Red Bull KTM Factory Racing)
- Luca Marini (Honda HRC Castrol)
- Alex Rins (Monster Energy Yamaha MotoGP)
- Brad Binder (Red Bull KTM Factory Racing)
- Enea Bastianini (Red Bull KTM Tech3)
- Pol Espargaro (Red Bull KTM Tech3)
Dengan kemenangan di Phillip Island, Fernandez menjadi pemenang ketujuh berbeza musim ini. bukti betapa kompetitifnya musim 2025. Kini tumpuan beralih ke Litar Antarabangsa Sepang, Malaysia, di mana perebutan tempat kedua keseluruhan antara Alex Marquez, serta pertarungan sengit Bezzecchi dan Francesco Bagnaia (Ducati Lenovo Team) untuk tempat ketiga kejuaraan bakal menjadi tumpuan utama.
Baca juga:


