Pol Espargaro gantikan Maverick Viñales di GP Australia dan Malaysia

Pol Espargaro akan kembali ke litar untuk menggantikan Maverick Viñales bagi dua perlumbaan seterusnya di Grand Prix Australia dan Grand Prix Malaysia bersama pasukan Red Bull KTM Tech3.

Keputusan ini dibuat selepas Viñales dan pasukannya memutuskan untuk memberi tumpuan kepada proses pemulihan bahu kiri yang masih lemah akibat kemalangan di Sachsenring. Pelumba Sepanyol itu memerlukan masa tambahan bagi membina semula kekuatan fizikalnya sebelum kembali ke saingan.

Bagi Espargaro, ini merupakan penampilan ketiganya musim ini selepas sebelum ini turut menggantikan Viñales di Grand Prix Czechia dan Hungary. Sebagai pelumba ujian KTM, Espargaro banyak membantu dalam pembangunan jentera sepanjang musim dan kini bersedia menghadapi cabaran perlumbaan luar benua (flyaway races) di Australia dan Malaysia.

Dalam satu kenyataan, Espargaro turut berkongsi perasaan menggantikan rakan sepasukannya yang mengalami kecederaan bahu itu dan berharap dapat mempamerkan prestasi cemerlang untuk memberikan data yang terbaik buat KTM.

“Seperti yang saya katakan sebelum ini, menggantikan rakan sepasukan akibat kecederaan bukanlah sesuatu yang saya suka. Saya tahu Maverick telah berusaha keras untuk terus berlumba, jadi saya harap masa rehat ini dapat mempercepatkan proses pemulihannya supaya dia dapat kembali secepat mungkin, kerana kami amat memerlukannya di KTM.

“Saya kembali bersama keluarga Tech3 saya, dan seperti di Brno dan Balaton Park, matlamat saya adalah membantu projek ini sebanyak mungkin serta memanfaatkan hujung minggu perlumbaan untuk terus menambah baik prestasi jentera dan menyokong rakan pelumba lain.

“Phillip Island adalah litar yang saya suka, walaupun sudah lama saya tidak berlumba di sana. Seperti biasa, saya akan cuba memberikan yang terbaik untuk memastikan hujung minggu yang produktif buat semua,” tambahnya lagi.

Kehadiran semula Espargaro di atas jentera KTM RC16 dijangka memberi nilai tambah kepada pembangunan motosikal pasukan tersebut menjelang penghujung musim. Dalam masa yang sama, peminat KTM diharap dapat melihat peningkatan konsisten sepanjang dua perlumbaan penting di Phillip Island (Australia) dan Sepang (Malaysia) dua lokasi yang sentiasa menjanjikan aksi mendebarkan.

Baca juga:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}

Kongsi artikel ini:

Related