Alex Márquez sah guna Jentera GP26 Ducati musim depan

BK8 Gresini Racing MotoGP mengesahkan bahawa Alex Márquez bakal menggunakan jentera Ducati GP26 dengan spesifikasi kilang bermula musim 2026.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat, pelumba Sepanyol itu disahkan akan menunggang jentera yang sama dengan duo pasukan Ducati Lenovo abang kandungnya, Marc Márquez, serta juara dunia Francesco Bagnaia.

Musim 2025 menjadi salah satu musim terbaik buat Alex Márquez, yang kini menggunakan GP24. Dengan 16 perlumbaan Grand Prix telah berlangsung, beliau berjaya mengutip keseluruhan 21 podium dengan berjaya meraih 11 podium dalam Tissot Sprint dan 10 dalam Grand Prix, termasuk dua kemenangan penuh. Prestasi konsisten ini akhirnya membuka jalan untuk menerima sokongan lebih besar daripada Ducati.

“Satu penghormatan besar untuk saya menunggang jentera kilang bersama Team Gresini.

“Pasukan telah bekerja dengan cemerlang sejak beberapa musim lalu, dan saya percaya ini adalah ganjaran untuk semua untuk diri saya sendiri dan seluruh pasukan. Ini langkah seterusnya menuju impian kami untuk lebih berjaya pada 2026. Saya ingin berterima kasih kepada Nadia, pasukan, serta Gigi dan Ducati yang sentiasa membuat saya rasa penting,” ujar Alex Marquez.

Pemilik pasukan, Nadia Padovani, turut menyifatkan berita ini sebagai kejayaan besar.

“Ini berita yang sangat penting untuk Gresini Racing. Saya ingin berterima kasih kepada Ducati dan Eng. Dall’Igna atas kepercayaan yang diberikan kepada Alex dan pasukan kami. Hasil kerja keras sepanjang musim ini dan musim sebelumnya membolehkan kami mencapai pencapaian bersejarah ini.

“Kami gembira Alex akan menunggang jentera kilang mulai tahun depan. Sebagai sebuah pasukan, kami bersedia untuk melangkah lebih jauh. Musim 2025 sudah cukup hebat, dan kami yakin 2026 bakal lebih menarik,” ungkapnya lagi.

Dalam satu kenyataan lain, Pengurus Besar Ducati Corse Luigi Dall’Igna menegaskan prestasi Alex Márquez meyakinkan Ducati untuk menambah sokongan mereka.

“Musim ini Alex Márquez sangat mengagumkan. Selepas beberapa penilaian, Ducati Corse memutuskan untuk meningkatkan lagi sokongan agar beliau dan kumpulannya terus berkembang. Alex berjaya memanfaatkan sepenuhnya potensi Desmosedici GP, dan kami yakin dengan kemas kini baharu tahun depan, kami mampu meningkat bersama. Ini adalah nilai tambah untuk seluruh keluarga Ducati.

Setakat ini, hanya terdapat tiga jentera spesifikasi kilang di grid MotoGP: dua daripada pasukan Ducati Lenovo Team, serta GP25 milik Fabio Di Giannantonio (Pertamina Enduro VR46 Racing Team). Musim depan, angka ini bakal meningkat kepada empat dengan penyertaan Alex Márquez.

Baca juga:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}

Kongsi artikel ini:

Related