Sorakan penyokong setia di lereng bukit ikonik Jerez bakal bertambah gamat hujung minggu ini apabila Aleix Espargaro diumumkan akan kembali ke litar dalam perlumbaan GP Sepanyol kali ini sebagai pelumba wildcard untuk Honda HRC.
Selepas mengumumkan persaraan daripada perlumbaan sepenuh masa pada penghujung musim 2024, Espargaro memulakan bab baharu dalam kariernya sebagai pelumba ujian Honda. Sejak itu, beliau giat menjalani beberapa sesi ujian tertutup, termasuk Ujian Shakedown Rasmi pada Februari lalu yang turut menandakan keterlibatannya yang aktif di sebalik tabir pembangunan jentera.
Terkini, pelumba bernombor #41 itu turut menyertai sesi ujian bersama Yamaha di Litar Ricardo Tormo, Valencia. Namun, kini tiba masanya untuk kembali berlumba secara kompetitif dalam Grand Prix pertamanya sejak GP Solidariti tahun lalu, dan juga yang pertama bersama Honda Racing Corporation (HRC).
Di Jerez, Espargaro akan menyertai barisan pelumba HRC sedia ada iaitu Joan Mir dan Luca Marini (Honda HRC Castrol), Johann Zarco (LCR Honda Castrol) serta Somkiat Chantra (LCR Honda Idemitsu) yang akan menjadikan lima wakil dari HRC yang bakal mewarnai perlumbaan di Andalusia.
Perlumbaan ini juga bakal menjadi pemanas badan menjelang Ujian Rasmi satu hari yang penting di lokasi sama pada Isnin, 28 April nanti.
Kembalinya Aleix Espargaro ke grid pastinya akan mencuri perhatian ramai, terutama penyokong di tanah airnya yang pastinya merindui aksi kompetitif seorang juara tiga kali MotoGP itu.
Baca juga: