Minggu ini, Litar Ricardo Tormo di Valencia menjadi lokasi penting buat dua pasukan gergasi Jepun, Honda dan Yamaha, apabila kedua-duanya menjalani ujian tertutup selama dua hari pada 15 April dan 16 April lalu.
Ujian tertutup itu dipercayai merupakan usaha dalam mempercepatkan pembangunan jentera mereka musim ini.
Dengan menggunakan sepenuhnya kelebihan development concessions yang diperoleh, kedua-dua pasukan menguji pelbagai elemen teknikal jentera masing-masing. Honda tampil dengan pelumba ujian tetap Stefan Bradl yang turut disertai Aleix Espargaro, yang kembali menunggang RC213V selepas menunjukkan prestasi memberangsangkan ketika ujian pramusim pada Februari lalu.
Di kem Yamaha pula pelumba gantian, Augusto Fernandez yang mengisi tempat Miguel Oliveira dalam GP Austin dan Lusail turut kembali ke litar bersama Cal Crutchlow. Crutchlow, yang terkenal dengan pengalaman luas sebagai pelumba ujian Yamaha, kembali semula selepas berehat selama beberapa bulan.
Desas-desus turut bertiup kencang bahawa Yamaha mungkin sedang menguji enjin baharu konfigurasi V4 dalam sesi kali ini, namun tiada pengesahan rasmi diberikan setakat ini.
Ujian dua hari ini menjadi medan penting untuk kedua-dua pengeluar memperhalusi perincian akhir sebelum Ujian Rasmi Jerez pada 27 April nanti.
Tanda-tanda kebangkitan kedua-dua pasukan semakin jelas dalam beberapa minggu kebelakangan ini. Honda kini berada di kedudukan kedua dalam Kejuaraan Pengeluar hasil prestasi seperti tempat keempat Johann Zarco (CASTROL Honda LCR) di Qatar.
Yamaha pula menunjukkan peningkatan menerusi Fabio Quartararo (Monster Energy Yamaha MotoGP Team) yang menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh selepas memulakan perlumbaan dari petak hadapan.
Baca juga: