Yamaha sahkan peralihan kepada enjin V4 bermula musim 2026

Yamaha Motor Co., Ltd. akhirnya mengesahkan bahawa jentera YZR-M1 akan menggunakan enjin konfigurasi V4 bermula musim 2026.

Keputusan ini selari dengan hala tuju pembangunan mereka, menandakan proses peralihan yang telus dan konsisten dalam usaha mengukuhkan semula daya saing Yamaha di pentas MotoGP.

Selama berdekad-dekad, enjin inline-four telah menjadi nadi identiti Yamaha dalam perlumbaan. Dari Valentino Rossi, Jorge Lorenzo, hingga Fabio Quartararo, enjin ini telah menggerakkan beberapa legenda sukan dua roda terkenal dengan karakter kuasa yang lancar serta pengendalian yang lincah. Antara rekod yang dicatat selama ini adalah seperti berikut.

  • 429 penyertaan Grand Prix
  • 125 kemenangan
  • Lebih 350 podium
  • 8 gelaran Rider, 7 gelaran Team
  • 5 gelaran Manufacturer dan 5 Triple Crown

Grand Prix Valencia pada hari Ahad menjadi perlumbaan terakhir bagi enjin inline-four dalam sejarah MotoGP, menutup satu lagi buku lama yang sudah pasti penuh dengan kejayaan.

Mengapa Beralih ke V4?

Konfigurasi V4 dijangka menawarkan peningkatan ketara dari aspek pecutan yang dimaklumkan lebih agresif, kestabilan yang lebih baik ketika membrek dan keserasian lebih tingi dengan tayar dan keperluan aerodinamik terkini.

Proses pembangunan yang pesat sepanjang musim 2025 membuktikan komitmen Yamaha untuk kembali menjadi pencabar utama sambil tetap menghormati warisan teknologinya.

Pada ujian Valencia Selasa ini, semua pelumba Yamaha musim 2026 akan menunggang jentera pertama mereka yang dilengkapi enjin V4, simbol bermulanya era baharu untuk Yamaha dan peminatnya di seluruh dunia.

Pengarah Teknikal Yamaha Factory Racing, Massimo Bartolini turut menyatakan sudah melakukan perbincangan secara terperinci sebelum membuat keputusan untuk beralih ke enjin V4 secara rasmi.

“Keputusan untuk menggunakan enjin V4 bukanlah sesuatu yang dilakukan secara mudah. Kami menilai setiap aspek daripada pecutan hingga tingkah laku ketika masuk selekoh dan kami dapati konfigurasi ini memberikan perbezaan yang kami perlukan untuk terus maju.

“Wild card musim 2025 mengesahkan jangkaan kami: walaupun V4 masih di awal pembangunan, ia sudah menunjukkan potensi besar untuk bersaing di tahap tertinggi.

“Peralihan ini juga strategik bagi persiapan menjelang peraturan teknikal 2027, di mana susun atur V4 akan memberikan kelebihan dalam pembangunan aerodinamik dan reka bentuk keseluruhan jentera,” ungkapnya lagi.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}

Kongsi artikel ini:

Related