Sebuah jenama basikal terkemuka dari China, XDS mengejutkan dunia apabila secara rasmi mengumumkan pelaburan besar mereka kepada pasukan UCI World Team Astana pada 13 Disember 2024.
Pelaburan itu merupakan satu langkah bersejarah apabila pasukan basikal itu selepas ini akan menggunakan nama pasukan XDS Astana, sekaligus menandakan kekuatan jenama itu di peringkat antarabangsa.
Dalam perjanjian hubungan strategik mereka, XDS menjanjikan bantuan dari segi kewangan, kejuruteraan, dan teknologi basikal terkini. Perjanjian itu turut menerima perhatian ramai yang menjangkakan masa depan pasukan itu akan meraih banyak kejayaan di masa hadapan dengan bekalan bantuan yang diberikan.
Antara peralatan dan teknologi yang dijaminkan termasuk peralatan daripada jenama premium XDS, iaitu X-Lab. Dari rangka karbon ringan hingga komponen responsif, basikal X-LAB direka khas untuk perlumbaan berprestij.
Pelaburan besar dalam Pasukan Astana ini dipercayai bukan sahaja langkah besar untuk XDS dalam dunia berbasikal profesional tetapi juga sebahagian daripada strategi syarikat mereka untuk berkembang dan mengukuhkuan jenama mereka ke pasaran antarabangsa.
Sekadar info, XDS ditubuhkan pada tahun 1995 yang memfokuskan kepada reka bentuk, pengeluaran, dan pembangunan basikal berprestasi tinggi. Dikenali dengan reka bentuk inovatif dan komitmen terhadap kualiti untuk pelumba kompetitif, peminat, dan penunggang basikal harian.
Dalam pada itu, Pasukan Astana pula sudah diasaskan pada tahun 2006 dengan pelbagai kejayaan luar biasa yang berjaya dicatat mereka termasuk beberapa kemenangan dalam Grand Tour dan kedudukan podium di perlumbaan ikonik seperti Tour de France, Giro d’Italia, dan Vuelta a España, serta melahirkan atlet ternama seperti Alberto Contador, Vincenzo Nibali, dan Mark Cavendish.