Pasukan Red Bull KTM Tech3 berdepan hujung minggu yang penuh dugaan di Grand Prix Jerman MotoGP 2025, apabila kedua-dua pelumbanya Maverick Viñales dan Enea Bastianini terpaksa menarik diri daripada perlumbaan atas sebab kesihatan.
Terbaharu, Vinales disahkan tidak akan menyertai baki aksi di Sachsenring selepas terjatuh dalam sesi kelayakan Q2 semalam. Pelumba Sepanyol itu mengalami dislokasi bahu kiri, yang kemudiannya berjaya dipulihkan di pusat rawatan litar. Namun, selepas menjalani pemeriksaan lanjut di hospital tempatan, retakan kecil turut dikesan, sekali gus mengesahkan keadaannya lebih serius daripada jangkaan awal.
Pihak pasukan memaklumkan bahawa mereka akan menilai sama ada Viñales boleh kembali beraksi di GP Republik Czech di Brno selepas tempoh pemulihan dan keadaan semasa bahunya dinilai semula dalam masa terdekat.
Sebelum insiden tersebut, Viñales menunjukkan potensi yang memberangsangkan dalam keadaan trek basah. Beliau berjaya melayakkan diri ke sesi Q2 selepas mencatat masa pantas dalam Q1, mengatasi beberapa nama besar untuk mara ke kelompok utama perebutan petak hadapan.

Namun, harapan untuk memperbaiki kedudukan grid musnah apabila Viñales mengalami kemalangan di Selekoh 4 semasa sedang melakukan pusingan awal di Q2. Keadaan trek yang licin jelas menjadi cabaran utama kepada ramai pelumba sepanjang hujung minggu ini.
Tambahan kepada cabaran pasukan, Enea Bastianini terlebih dahulu disahkan tidak dapat berlumba di Sachsenring selepas didiagnosis menghidap apendisitis sejurus sebelum tiba di Jerman. Bagaimanapun, pelumba yang digelar “The Beast” itu dilaporkan semakin pulih dan tidak memerlukan pembedahan, namun tetap terpaksa diketepikan dari perlumbaan kali ini.
Dengan kedua-dua pelumba utama tidak dapat beraksi, hujung minggu di Sachsenring menjadi mimpi ngeri buat Red Bull KTM Tech3. Apa yang sepatutnya menjadi peluang untuk mengutip mata penting kini bertukar menjadi detik pemulihan buat dua bintang mereka.
Perlumbaan utama MotoGP bakal diteruskan malam ini sekitar jam 8 malam waktu Malaysia, dengan Marc Marquez bersedia untuk memulakan aksi dari petak utama selepas meraih kedudukan pole position serta mencatat kemenangan cemerlang dalam perlumbaan Sprint semalam.
Baca juga:


