Tidak cukup dengan meraih petak utama, Marc Marquez (Ducati Lenovo Team) semakin dekat dengan trofi Juara dunia MotoGP apabila sekali lagi mengukuhkan gelarannya sebagai ‘Raja Sachsenring’ setelah menjuarai Tissot Sprint dalam keadaan litar basah di Grand Prix Jerman MotoGP 2025, sebentar tadi.
Walaupun terpaksa berhempas pulas sepanjang 14 daripada 15 pusingan, aksi dramatik Marquez di pusingan terakhir membuahkan hasil apabila beliau berjaya memintas Marco Bezzecchi (Aprilia Racing) untuk meraih kemenangan ke-10 musim ini. Manakala Fabio Quartararo (Monster Energy Yamaha MotoGP), melengkapkan podium di tempat ketiga yang juga merupakan kemunculan pertamanya di atas rostrum Sprint sejak GP Belanda 2023.
Bermula dari petak pertama, Marquez mendapat permulaan baik tetapi akibat dari tergelincir di Selekoh 1, menyebabkan beliau jatuh ke kedudukan kelima sebelum turun lagi ke petak 6 selepas dipintas oleh Fabio Di Giannantonio (Pertamina Enduro VR46 Racing Team).
Sementara itu, Bezzecchi mengambil alih dengan memimpin perlumbaan dan diikuti rapat oleh Franco Morbidelli dan Quartararo, yang melonjak ke P3 dari petak ketujuh.
Malangnya, Morbidelli terjatuh laju di Selekoh 8 pada Pusingan 3, memberikan laluan kepada Quartararo untuk naik ke kedudukan kedua. Dalam masa yang sama, Marquez mula menemui rentaknya sekaligus memintas Di Giannantonio sebelum diikuti Pedro Acosta (Red Bull KTM Factory Racing) ke P3 dan P4.
Acosta kemudiannya melakukan kesilapan apabila terbabas ke kawasan gravel di Pusingan 8, sekaligus menamatkan harapannya untuk podium. Marquez tidak mensia-siakan peluang, dan memintas Quartararo di Selekoh 1 ketika memasuki Pusingan 9 dengan memulakan misi mengejar Bezzecchi yang ketika itu memiliki kelebihan 1.6 saat di hadapan.
Empat pusingan terakhir menyaksikan tekanan semakin hebat ke atas Bezzecchi apabila Marquez memadam jurang sedikit demi sedikit. Dua pusingan terakhir, mereka hanya dipisahkan beberapa meter selepas pertempuran emas yang mendebarkan di penghujung perlumbaan.
Tiba di pusingan penentu, Marquez melancarkan serangan berani di Selekoh 1 dengan cubaan yang pada awalnya kelihatan seperti tidak akan berjaya, namun beliau berjaya membuktikan kemampuannya apabila mengekalkan kedudukan di garisan luar dan memintas Bezzecchi di Selekoh 2 untuk merampas kedudukan pendahulu.
Bezzecchi tidak sempat membalas dan terpaksa berpuas hati di tempat kedua. Sementara itu, Quartararo berjaya mengekang asakan terakhir Di Giannantonio untuk memastikan tempat ketiga miliknya kekal hingga ke garisan penamat.
Sesi kelayakan
Sebelum aksi Sprint, sesi kelayakan menyaksikan Marc Marquez mencatat sejarah dengan meraih petak utama ke-73 dalam kariernya, selepas mengatasi Johann Zarco (CASTROL Honda LCR) dengan kelebihan tipis 0.151 saat dalam pertempuran basah yang sengit di Sachsenring. Marco Bezzecchi melengkapkan barisan hadapan bersama Ducati dan Honda selepas aksi “rain dance” yang mengagumkan.
Zarco dan Maverick Viñales (Red Bull KTM Tech3) terlebih dahulu melayakkan diri ke Q2 selepas mendominasi Q1. Namun, sesi Q2 tidak bermula dengan baik apabila Viñales dan Jack Miller (Prima Pramac Yamaha MotoGP) masing-masing terjatuh di Selekoh 4 akibat permukaan litar yang licin dan mencabar.
Marquez kemudiannya mencatat masa 1:28.730 saat dan mengekalkan kedudukan sebagai pendahulu meskipun Zarco hampir merampas kedudukan tersebut dengan hanya perbezaan 0.065 saat. Cubaan terakhir Morbidelli untuk merampas pole position berakhir dengan terjatuh di Selekoh 8 mengesahkan kelebihan Marquez di Sachsenring sekali lagi.
Berikut merupakan 10 pelumba terbaik dalam perlumbaan sprint :
- Marc Marquez (Ducati Lenovo Team)
- Marco Bezzecchi (Aprilia Racing)
- Fabio Quartararo (Monster Energy Yamaha MotoGP)
- Fabio Di Giannantonio (Pertamina Enduro VR46 Racing Team)
- Jack Miller (Prima Pramac Yamaha MotoGP)
- Brad Binder (Red Bull KTM Factory Racing)
- Johann Zarco (CASTROL Honda LCR)
- Alex Marquez (BK8 Gresini Racing MotoGP)
- Franco Morbidelli (Pertamina Enduro VR46 Racing Team)
- Pedro Acosta (Red Bull KTM Factory Racing)
Dengan kemenangan Sprint ke-10 dalam 11 hujung minggu, Marc Marquez kelihatan semakin sukar digugat. Tetapi dengan ramalan cuaca masih menunjukkan hujan, kejutan mungkin menanti di perlumbaan utama pada Ahad, sekitar pukul 2 petang waktu tempatan.
Baca juga:


