Pasukan Trackhouse MotoGP bersama Gulf Oil International Limited secara rasmi memperkenalkan livery khas mereka untuk dua perlumbaan pertama musim MotoGP 2025 pada Jumaat.
Buat pertama kalinya, warna ikonik ‘Gulf’ bakal menghiasi grid MotoGP sepenuhnya dengan jentera Aprilia RS-GP25 milik Trackhouse yang tampil kali ini dengan reka bentu baharu di Litar Antarabangsa Buriram bagi aksi pembukaan, Grand Prix Thailand hari ini.
Livery tersebut bukan sahaja melambangkan permulaan baharu antara kerjasama kedua-dua jenama antarabangsa itu malah turut mencipta sejarah baharu dalam dunia perlumbaan dengan warna biru dan oren yang mencerminkan semangat kental dan keberanian Trackhouse MotoGP team yang diketuai Davide Brivio.
Ketua Pegawai Eksekutif Gulf Oil, Mike Jones turut menyatakan keterujaannya dengan kerjasama mereka dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
“Kami amat teruja melihat warna ikonik Gulf hadir di grid MotoGP melalui kerjasama bersama Trackhouse MotoGP Team. Livery ini adalah detik bersejarah dalam kisah Gulf dalam sukan permotoran. Dengan bergabung bersama Trackhouse, kami berharap dapat membina asas kukuh untuk kedua-dua jenama berkembang dalam dunia MotoGP dan kami tidak sabar untuk musim 2025 yang pasti mendebarkan.
Sementara itu, Justin Marks, Pengasas & Pemilik Trackhouse Entertainment Group, turut menzahirkan kegembiraannya dan mengungkapkan ini merupakan batu loncatan buat pasukannya dalam dunia permotoran.

“Sejak pertama kali saya jatuh cinta dengan sukan permotoran, saya amat mengagumi dan terinspirasi dengan livery ikonik Gulf dalam pelbagai bentuknya sepanjang sejarah perlumbaan. Mampu mendedahkan jentera Gulf Trackhouse Aprilia adalah satu detik peribadi yang sangat bermakna.
Ini adalah satu penghormatan dan keistimewaan untuk bekerjasama dengan jenama ikonik seperti Gulf dalam MotoGP, dan saya tidak sabar untuk melihat jentera ini meluncur di litar.
Jentera Aprilia RS-GP25 bukan satu-satunya jentera yang akan menampilkan livery khas ini, malah kedua-dua pelumba #25 Raul Fernandez dan #79 Ai Ogura, juara dunia Moto2, juga akan mengenakan sut perlumbaan berjenama Gulf.

Selain itu, kit pasukan serta garaj mereka akan memaparkan warna kebanggaan Gulf sepanjang Grand Prix Thailand dan dieekori dengan Grand Prix Argentina, dua minggu selepas itu.
Selepas dua perlumbaan pertama, Trackhouse akan kembali ke livery asal mereka bermula dari Grand Prix Amerika Syarikat, dengan kolaborasi tambahan bersama Gulf dijangka berlangsung sepanjang musim MotoGP 2025.
Baca juga:


