Pasukan Trackhouse Racing MotoGP mengumumkan kerjasama baharu mereka bersama sebuah jenama terkemuka antarabangsa, Gulf menjelang musim MotoGP 2025.
Perkara itu dimaklumkan mereka menerusi satu kenyataan pada 17 Disember dengan menyatakan kerjasama bersama syarikat pembekal serta pengeluar pelincir global itu bakal memberikan nafas baharu kepada pasukan itu dalam dunia permotoran.
“Gulf merupakan syarikat yang kaya dengan sejarah dalam sukan permotoran, dan kami sangat teruja untuk meneruskan sejarah ini dengan bekerjasama dengan pasukan perlumbaan motosikal yang begitu bercita-cita tinggi dan dinamik seperti Trackhouse Racing.
“Bersama-sama, kami berkongsi visi yang sama untuk meletakkan peminat sebagai pusat utama kami dalam apa-apa yang kami lakukan melalui kerjasama ini. Kami tidak sabar untuk mencipta impak sebenar dalam MotoGP dan melihat sejauh mana sukan permotoran ini dapat membawa kami,” kata Pegawai Eksekutif Gulf (CEO), Mike Jones.
Dalam pada itu, pemilik pasukan Trackhouse MotoGP, Justin Marks turut menyatakan keterujaannya dan berharap kerjasama antara mereka dapat membawa pasukannya ke peringkat lebih tinggi.
“Ia merupakan satu penghormatan besar buat pasukan Trackhouse MotoGP untuk menyambut Gulf sebagai rakan kerjasama utama. Jenama Gulf telah menghiasi beberapa detik paling bersejarah dalam dunia perlumbaan dan kami sangat teruja untuk membawa legasi tersebut ke dalam perlumbaan motosikal global,” katanya
Trackhouse Racing, merupakan pasukan yang berpusat di Concorde,North Carolina terletak di Amerika Syarikat yang pernah mencipta kejayaan dalam Kejohanan Siri Piala NASCAR dan ketika ini sedang melebarkan sayapnya ke Kejuaraan Dunia MotoGP sejak awal tahun ini dengan menyertai musim 2024.
Trackhouse yang dikenali dengan pendekatan inovatif dan pemasaran kreatif yang memberi fokus kepada hiburan dan penglibatan peminat turut mengesahkan bakal meneruskan penyertaan mereka dalam kelas premier buat tahun kedua dengan kerjasama ini.
Turut dimaklumkan, pelumba-pelumba mereka seperti #25, Raul Fernandez dan Juara Dunia Moto2, #79 Ai Ogura akan membawa jentera dan sut perlumbaan berlogokan Gulf pada jentera Aprilia RS-GP25 sepanjang musim 2025.
Dalam pada itu, Gulf pula merupakan anak syarikat milik penuh Kumpulan Hinduja, telah beroperasi sejak tahun 1901 dan merupakan salah satu syarikat swasta terbesar di dunia. Perniagaan utama Gulf merangkumi pembuatan dan pemasaran pelbagai produk pelincir berprestasi tinggi di lebih 60 buah negara. Gulf juga mengendalikan rangkaian stesen minyak di 18 negara dengan lebih daripada 1,250 stesen serata dunia.
Dengan kerjasama ini, peminat tempatan turut menyatakan keterujaan mereka dalam menyaksikan kerjasama ini dapat membuahkan hasil dengan pasukan Trackhouse Racing yang memberikan tumpuan dalam membangunkan bakat-bakat muda seperti pelumba Sepanyol, Raul Fernandez dan Juara Dunia Moto2 dari Jepun, Ai Ogura ke peringkat lebih baik.