Berita yang ditunggu-tunggu akhirnya menjadi kenyataan Toprak Razgatlioglu bakal beraksi di pentas tertinggi MotoGP bermula musim 2026.
Juara dua kali Kejuaraan Superbike Dunia (WorldSBK) itu telah menandatangani kontrak bersama Yamaha, dan akan berlumba dalam warna rasmi Prima Pramac Yamaha MotoGP Team musim depan.
Pengumuman ini hadir sejurus selepas perlumbaan GP Aragon dan menjelang pusingan seterusnya WorldSBK di Misano pada 10 Jun lalu, sekali gus mencuri perhatian dunia permotoran.
Lebih menarik, berita ini turut diumumkan pada hari yang sama Nicolo Bulega, pesaing utama Toprak dalam perebutan gelaran 2025 yang juga disahkan akan menjadi Pelumba Ujian Ducati MotoGP pada tahun yang sama, 2026.
Toprak pernah menguji jentera Yamaha YZR-M1 pada tahun 2023, namun percubaan pertamanya di Aragon terganggu oleh cuaca. Beliau kemudian melengkapkan sesi ujian lebih menyeluruh di Jerez. Walaupun ketika itu harapan untuk melihatnya beraksi di MotoGP sangat tinggi, perpindahan itu tidak berlaku sehinggalah sekarang.
Pengarah Urusan Yamaha Motor Racing, Paolo Pavesio, menyatakan kegembiraan menyambut kepulangan semula Toprak ke dalam keluarga Yamaha.
“Kami sangat teruja untuk menyambut Toprak kembali ke keluarga Yamaha. Sebagai pelumba Yamaha paling berjaya dalam sejarah WorldSBK, dia telah membuktikan kebolehannya dengan menjuarai dua gelaran dunia. Ianya merupakan satu pencapaian yang luar biasa.
“Peralihan ke MotoGP ini bukan sahaja satu ‘kepulangan’, tetapi juga cabaran baharu yang penuh potensi. Semangat juangnya dan ketabahan mental yang dimiliki sangat sesuai dengan strategi MotoGP Yamaha serta semangat pasukan Prima Pramac. Kami percaya tahun 2026 adalah masa terbaik untuk merealisasikan langkah ini yang telah lama dinanti-nantikan semua peminat,” ungkapnya.
Toprak Razgatlioglu telah membuktikan dirinya sebagai salah satu bintang sebenar dunia permotoran dengan gaya tunggangan agresif, teknik luar biasa dan karisma yang memikat. Kejayaan di WorldSBK pada 2021 bersama Yamaha menandakan titik permulaan kepada era baharunya dalam MotoGP.
Kini, dengan kontrak rasmi di tangan dan persiapan ke arah 2026 sedang berjalan, ramai yang sudah menantikan bagaimana pelumba Turki yang penuh karisma ini mampu mencorakkan perjalanan baharunya dalam kelas premier ini tidak lama lagi.


