Tidak cukup dengan meraih gelaran rookie terbaik pada hari Jumaat, Ai Ogura sekali lagi mencuri tumpuan apabila menamatkan perlumbaan Sprint di tempat keempat pada Sabtu.
Keputusan ini bukan sahaja menandakan kecemerlangannya bagi kemunculan sulungnya dalam kelas premier, tetapi juga membuktikan keupayaannya bersaing setanding dengan barisan pelumba terbaik MotoGP.
Perlumbaan di Litar Antarabangsa Chang, Buriram itu turut menyaksikan pelumba muda dari Jepun ini berada dalam kelas tersendiri, selepas dua hari berturut-turut mempamerkan aksi luar biasa di atas litar.
Mengulas mengenai prestasi cemerlangnya meskipun masih bergelar pendatang baharu, Ogura mendedahkan bahawa dia banyak belajar dengan meneliti gaya tunggangan Juara Dunia 2023, Pecco Bagnaia.
“Saya hanya cuba mengekori pergerakan Pecco sepanjang perlumbaan. Saya cuba meniru setiap aspek yang saya mampu dan menunggang di belakangnya selama beberapa pusingan. Saya perhatikan setiap pergerakannya dan cuba melaksanakannya sebaik mungkin.
“Hari ini, saya berasa jauh lebih selesa dengan jentera berbanding semalam. Saya memberikan usaha lebih dalam perlumbaan Sprint, dan berbanding sesi kelayakan di mana saya turut mencatat masa yang baik dengan kawalan brek yang cemerlang, saya berjaya menambah baik tunggangan saya hari ini.
“Sejujurnya, saya sendiri terkejut dengan catatan dan keputusan yang sangat baik ini.
Ketika diminta mengulas mengenai perbezaan antara jentera Ducati dan Aprilia, Ogura menyatakan bahawa dia hanya dapat membuat perbandingan dengan Bagnaia, kerana pelumba Itali itu satu-satunya penunggang Ducati yang berada tepat di hadapannya.
“Saya tidak boleh membandingkan jentera saya dengan Alex atau Marc, tetapi dengan Pecco, saya dapat melihat perbezaannya kerana hanya dia yang berada di depan saya.
“Namun, apa yang boleh saya katakan adalah jentera saya berada dalam keadaan terbaik kerana saya berjaya mengekalkan prestasi yang konsisten di pertengahan perlumbaan dan mungkin lebih baik daripada Ducati dari segi kestabilan. Walaupun dalam aspek selekoh dan brek, mereka jelas mempunyai kelebihan,” katanya kepada pihak media.
Pelumba berusia 24 tahun ini akan kembali turun ke litar bagi aksi perlumbaan GP yang juga merupakan perlumbaan pembukaan musim ini pada hari Ahad bagi merebut trofi GP Thailand 2025 yang dijadualkan berlangsung pada pukul 4 petang waktu tempatan.
Baca juga :


