Sesi latihan MotoGP di Litar Antarabangsa Buriram, Thailand menyaksikan pelbagai drama dengan Francesco Bagnaia (Ducati Lenovo Team) terpaksa bertarung di Q1 buat pertama kali semenjak GP Valencia 2023 yang turut menghalang pelumba Itali itu mencatat masa terbaik.
Dalam lima minit terakhir sesi latihan, dengan semua pelumba berusaha untuk menempah slot ke Q2, namun dua insiden berlaku yang turut menjejaskan usaha Bagnaia untuk melayakkan diri apabila bendera kuning dikibarkan apabila Marco Bezzechi dari Aprilia Racing terjatuh yang turut menyekat Juara Dunia 2023 itu untuk mara.

Di pusingan terakhir, turut berlaku satu lagi insiden yang melibatkan Bagnaia apabila beliau bertembung dengan Franco Morbidelli (Pertamina Enduro VR46 Racing Team) yang bergerak perlahan di garisan perlumbaan selepas selekoh kelima.
Perkara itu turut mencetuskan ketegangan di antara kedua-dua pelumba apabila kedua-duanya saling meluahkan rasa tidak puas hati di atas litar. Insiden tersebut dibawa ke pihak FIM MotoGP Stewards, yang kemudian menjatuhkan hukuman penalti tiga petak grid kepada Morbidelli untuk perlumbaan utama pada Ahad.
Bagnaia akhirnya menamatkan sesi latihan di P13, bermakna pelumba berusia 28 tahun itu perlu bersaing di Q1 dan perlu berhempas pulas mencari jalan untuk melayakkan diri ke Q2.
Di sebalik drama tersebut, Alex Marquez (Gresini Racing Ducati) mencuri tumpuan dengan mencatat masa terpantas dan mengalahkan abangnya, Marc Marquez (Gresini Racing Ducati) yang turut menempah tiket ke Q2. Pedro Acosta (Red Bull GASGAS Tech3) juga menunjukkan kepantasan dengan menjadi satu-satunya wakil KTM yang layak ke Q2 secara langsung.
Dalam masa yang sama, Bezzecchi yang terjatuh ketika saingan masih berjaya melayakkan diri ke Q2, begitu juga dengan Morbidelli yang menerima penalti. Honda pula menunjukkan peningkatan ketara, dengan Joan Mir (Honda HRC Castrol) di P6 dan Johann Zarco (LCR Honda) di P9 yang juga merupakan kali pertama dua jentera Honda ke Q2 sejak Grand Prix India 2023.
Dalam pada itu, Fabio Quartararo (Monster Energy Yamaha MotoGP) menamatkan sesi di P8, meskipun mengalami masalah teknikal apabila jenteranya perlu ditolak ke kawasan servis selepas bendera penamat dikibarkan.

Ai Ogura (Trackhouse MotoGP Team) juga tidak dilupakan apabila kemunculan sulungnya berjaya menghadiahkannya gelaran rookie terbaik selepas membawa jentera ketiga Aprilia untuk layak ke Q2 selepas berada di P9, manakala rakan sepasukannya Raul Fernandez menamatkan sesi di P7.
Buat pertama kali sejak Indonesia 2023, semua lima pengeluar berjaya membawa sekurang-kurangnya satu jentera terus ke Q2.
Para pelumba akan kembali beraksi di atas litar bagi saingan Q1 yang dijadualkan esok dengan Bagnaia kini menjadi antara pencabar utama dalam sesi tersebut dan barisan-barisan pelumba terbaik seperti Alex Rins (Monster Energy Yamaha MotoGP™), Miguel Oliveira (Prima Pramac Yamaha MotoGP™), dan Enea Bastianini (Red Bull KTM Tech 3) yang turut akan berjuang di Q1 untuk merebut dua tempat ke Q2.
Baca juga:


