Pelumba Jepun, Yuki Kunii, akan membuat penampilan sulungnya dalam Kejuaraan Dunia Superbike (WorldSBK) di pusingan Motul Hungarian Round di Balaton Park, Hungary, selepas dipilih menggantikan pelumba Honda HRC, Jake Dixon yang masih dalam proses pemulihan kecederaan.
Honda HRC mengesahkan bahawa Dixon tidak akan beraksi pada pusingan keempat musim 2026 yang dijadualkan berlangsung hujung minggu ini dari 1 hingga 3 Mei. Pelumba Britain itu masih belum pulih sepenuhnya selepas mengalami patah pergelangan tangan ketika sesi ujian pra-musim di Phillip Island, Australia.
Walaupun pemulihannya menunjukkan perkembangan positif melalui fisioterapi intensif termasuk sesi harian di ruang hiperbarik, Dixon masih belum dibenarkan untuk kembali berlumba.
Sebagai pengganti, Kunii yang berusia 23 tahun akan menunggang jentera Honda CBR1000RR-R milik Dixon (#96) untuk hujung minggu perlumbaan tersebut.
Kunii bukan nama asing dalam dunia perlumbaan motosikal. Beliau pernah bersaing dalam kategori Moto3 dan Moto2, serta membuat debut Grand Prix pada 2019. Antara pencapaian terbaiknya ialah tempat kelapan di GP Styrian Moto3 pada 2021.
Beliau juga cemerlang di peringkat domestik Jepun apabila menjuarai STK1000 2024 dengan lima kemenangan daripada enam perlumbaan, selain memulakan musim JSB1000 tahun ini dengan podium di Motegi.
Menurut kenyataan Honda HRC, pengalaman Kunii bersama jentera CBR1000RR-R dalam Kejuaraan Road Racing Jepun menjadi faktor utama pemilihannya sebagai pengganti sementara Dixon.


