Impian Jorge Martin untuk kembali bersaing di pentas MotoGP selepas lama berehat akibat kecederaan berakhir dengan satu lagi insiden yang tidak diingini.
Pelumba pasukan Aprilia Racing itu terpaksa menarik diri selepas terlibat dalam kemalangan pada pusingan ke-14 perlumbaan utama Grand Prix Qatar, yang menyaksikan beliau mengalami kecederaan serius di bahagian dada.
Selepas terjatuh, Martin segera dibawa ke hospital bagi menjalani pemeriksaan lanjut.
“Jorge Martin mengalami trauma di bahagian dada. Beliau berada dalam keadaan sedar dan tiada masalah pada anggota badannya.
“Pemeriksaan awal menunjukkan beliau mengalami lebam di rusuk kanan serta pneumotoraks. Martin akan dibawa ke hospital untuk menjalani imbasan CT bagi siasatan lanjut ,” Pasukannya memaklumkan dalam kenyataan awal.
Hasil imbasan CT kemudiannya mengesahkan bahawa pneumotoraks yang dialami Martin telah bertambah teruk, memaksa pasukan perubatan untuk menjalankan prosedur memasukkan tiub saliran (drainage) ke dalam paru-parunya.
Martin kini perlu dirawat di hospital dan berada di bawah pemerhatian rapi sehingga keadaannya stabil.
Diagnosis akhir mendapati bahawa pelumba nombor satu dunia itu mengalami patah pada lengkungan tulang rusuk bahagian belakang sebelah kanan.
Kecederaan ini tentunya satu tamparan hebat buat Martin yang sebelum ini baru sahaja pulih dari kecederaan terdahulu dan berhasrat untuk kembali memberi cabaran dalam kejuaraan musim ini.
Baca juga: