Pusingan 5 Kejuaraan FIM Asia Road Racing Championship 2026 di Sepang Dijadualkan Lebih Awal

KUALA LUMPUR, 6 Ogos 2026 – Fédération Internationale de Motocyclisme (FIM) Asia dan Two Wheels Motor Racing (TWMR) memaklumkan kepada semua pasukan, pelumba, rakan strategik serta pihak berkepentingan bahawa Pusingan 5 Kejuaraan FIM Asia Road Racing Championship (ARRC) 2026 di Litar Antarabangsa Sepang telah dijadualkan semula secara rasmi.

Secara asalnya dijadualkan berlangsung pada 11 hingga 13 September 2026, perlumbaan tersebut kini akan diadakan lebih awal, iaitu pada 4 hingga 6 September 2026.

Perubahan jadual ini dibuat bagi memberi laluan kepada persiapan logistik dan penyediaan litar secara menyeluruh menjelang Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix Malaysia, yang akan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang pada 2 hingga 4 Oktober 2026.

Dengan membawa Pusingan 5 ARRC seminggu lebih awal, penganjur dapat memastikan proses peralihan dan persediaan litar untuk acara Formula 1 berjalan lancar tanpa menjejaskan operasi di Litar Antarabangsa Sepang. FIM Asia dan TWMR turut mengambil kesempatan mengucapkan selamat maju jaya kepada pihak penganjur Formula 1 bagi penganjuran perlumbaan berprestij tersebut.

Dalam kenyataan yang sama, pihak TWMR kini bekerjasama rapat dengan Litar Antarabangsa Sepang serta semua rakan strategik berkaitan bagi memastikan peralihan kepada tarikh baharu ini berjalan lancar, di samping meminimumkan sebarang gangguan terhadap jadual kejuaraan serta pergerakan logistik pasukan dan kargo.

FIM Asia dan TWMR turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pasukan, pelumba, rakan strategik, penaja serta peminat atas kerjasama dan fleksibiliti mereka dalam menerima perubahan jadual ini. Pihak penganjur juga memohon maaf atas sebarang kesulitan yang mungkin timbul susulan pelarasan tersebut.

Dengan sokongan berterusan daripada semua pihak, FIM Asia dan TWMR berharap dapat mengalu-alukan kehadiran seluruh komuniti perlumbaan bagi menjayakan Pusingan 5 FIM Asia Road Racing Championship 2026 di Litar Antarabangsa Sepang.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}

Kongsi artikel ini:

Related