IDEMITSU Honda LCR dalam satu kenyataan telah mengesahkan bahawa Somkiat Chantra tidak akan meneruskan penunggangannya bersama pasukan itu untuk musim 2026.
Dalam musim rookienya di MotoGP 2025, pelumba bernombor #35 itu mencipta sejarah sebagai pelumba Thailand pertama yang menjejakkan kaki ke kategori premier dan berjaya meraih mata kejuaraan dengan pencapaian yang kekal dalam catatan MotoGP.
Walaupun menghadapi dua kecederaan yang menjejaskan konsistensinya sepanjang musim, Chantra menunjukkan komitmen tinggi serta peningkatan prestasi yang amat dihargai pihak LCR. Kini, beliau bersedia membuka lembaran baru dalam kerjayanya dengan menyertai dunia World Superbike (WorldSBK) sebagai penunggang bersama pasukan Honda HRC mulai 2026.
Chantra naik ke kategori premier MotoGP pada musim 2025 bersama IDEMITSU Honda LCR, menjadikan kayu ukur untuknya dan kepada pelumba Asia yang lain dengan impian menghadapi kelas utama. Namun, musim ini tidaklah begitu mudah bagi beliau.
Beliau pernah terpaksa menarik diri daripada Grand Prix Perancis pada Mei kerana menjalani pembedahan “arm pump”. Juga, pada bulan Julai, beliau terlibat dalam kemalangan ketika latihan off-road (luar litar) yang mengakibatkan kecederaan pada lutut, menyebabkan beliau terpaksa terlepas beberapa siri perlumbaan.
Dalam ujian pra musim seperti di Aragon, Chantra menamatkan di kedudukan agak jauh dari barisan hadapan (ketinggalan lebih 2 saat di belakang) semasa sesi ujian rasmi, beliau turut menunjukkan jurang adaptasi terhadap jentera RC213V yang jelas sukar buat pelumba Thailand itu sepanjang musim ini.
Selain itu, kritikan turut dilontarkan di laman media sukan mengenai beberapa “kesilapan kawalan tunggangan” yang diperhatikan sepanjang musim rookie beliau. Selain itu, semasa perlumbaan di Misano (Round 16, 2025), Chantra tekad mempamerkan peningkatan dengan memulakan dari posisi grid ke-23 dan berjaya menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-15, sekaligus meraih satu mata penting.
Dalam pada itu, pengumuman rasmi bahawa Chantra akan menyertai pasukan Honda HRC di WorldSBK 2026 disambut baik oleh pihak Honda dan peminat. Beliau akan disertai oleh Jake Dixon sebagai rakan sepasukan. Dengan perpindahan ini, Chantra bakal mencipta sejarah baru sebagai pelumba Thailand pertama yang bertanding secara sepenuh masa di WorldSBK sebagai penunggang kilang.
Pihak LCR dalam kenyataannya menyatakan penghargaan mereka atas usaha Chantra sepanjang musim: mereka menghargai kerjasama, semangat juang dan pencapaian pertama beliau mencetak mata kejuaraan di MotoGP. Ketua Pasukan LCR, Lucio Cecchinello menegaskan bahawa walaupun musim tidak berjalan lancar kerana kecederaan, Chantra telah menunjukkan sikap profesional dan berjaya mencatatkan nama dalam sejarah perlumbaan dua roda Thailand.
Bagi Chantra pula, langkah ke WorldSBK bukan sahaja membuka peluang baharu tetapi juga satu saluran untuk memulihkan momentum kerjayanya. Dalam WorldSBK, beliau akan menunggang jentera Honda CBR 1000 RR-R, berhadapan dengan pelumba terbaik dunia dalam siri superbike. Jika beliau dapat menyesuaikan diri dengan pantas dan konsisten, ia mungkin menjadi titik tolak baru untuk kejayaan lebih besar selepas ini.
Baca juga:


