Tiada pengganti buat Jorge Martin di GP Indonesia

Pasukan Aprilia Racing mengesahkan bahawa juara bertahan Jorge Martin telah menjalani pembedahan berjaya selepas mengalami kecederaan di Tissot Sprint Grand Prix Jepun hujung minggu lalu.

Martin yang terlibat dalam satu insiden yang membuatkan dia terjatuh di selekoh pertama perlumbaan Sprint di Motegi sekaligus menyebabkan tulang selangka kanannya patah.

Pelumba Sepanyol itu segera pulang ke Barcelona pada Ahad untuk menjalani rawatan lanjut. Pada Selasa pagi, beliau telah menjalani pembedahan pengurangan dan fiksasi tulang selangka kanan di Hospital Universitari Dexeus yang diketuai oleh pakar bedah sukan terkenal, Dr. Xavier Mir.

Menurut Aprilia, pembedahan berjalan lancar dan proses pemulihan Martin akan dinilai dari semasa ke semasa. Pasukan turut mengesahkan bahawa Martin tidak akan digantikan untuk Grand Prix Indonesia di Mandalika hujung minggu ini.

Insiden di Motegi ini menambahkan lagi episod malang buat Martin sepanjang musim 2025. Selepas bermula dengan penuh keyakinan sebagai juara bertahan, beliau berdepan pelbagai cabaran daripada masalah teknikal, keputusan tidak konsisten, hinggalah kecederaan yang terkini.

Kedudukannya dalam carta kejuaraan kini semakin jauh daripada perebutan gelaran apabila hanya menghuni kelompok pertengahan dengan jurang besar di belakang pendahulu, Marc Marquez.

Meskipun terlepas peluang menambah mata di Mandalika, Aprilia Racing masih optimis Martin mampu kembali pada baki musim untuk membantu pasukan memburu kedudukan lebih baik dalam carta pengeluar. Dengan baki beberapa perlumbaan flyaway di Asia dan Eropah, pemulihan pantas sangat penting bagi memastikan Martin dapat menutup musim dengan keputusan positif.

Kecederaan Martin juga memberi kesan langsung kepada Aprilia Racing, yang kini menaruh harapan besar kepada rakan sepasukannya, Marco Bezzecchi, untuk membawa cabaran pasukan dalam kelompok teratas. Namun dengan persaingan sengit daripada Ducati, KTM dan VR46, Aprilia perlu mencari konsistensi jika mahu kekal relevan dalam perebutan podium sepanjang baki musim ini.

Baca juga:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}

Kongsi artikel ini:

Related