Sinar harapan baharu buat Honda di MotoGP 2025

Selepas beberapa musim yang mencabar, Honda Racing Corporation (HRC( mula menunjukkan tanda-tanda kebangkitan dalam MotoGP apabila meraih keputusan cemerlang ketika perlumbaan pembukaan di Litar Antarabangsa Chang, Buriram minggu lalu.

Dengan keputusan ujian pramusim yang turut memberi gambaran bahawa pengeluar dari Jepun itu sudah kembali ke prestasi mereka pada awal tahun lalu, HRC turut melaporkan mereka menerima perkembangan positif ke atas prestasi jentere mereka ketika ujian di Sepang dan Buriram.

Malah, pelumba utama mereka Joan Mir (Honda HRC Castrol) menyifatkan sesi ujian hari pertama di Sepang sebagai hari terbaik sejak dia menyertai Honda pada penghujung 2022.

Kredit : Honda Racing GLB / Twitter

Perkembangan positif ini diteruskan pada hujung minggu perlumbaan di Buriram, di mana Mir mencatatkan tempat keenam dalam sesi latihan, manakala Johann Zarco (Castrol Honda LCR) berada di kedudukan ke-10.

Dua jentera Honda berjaya menempah tempat automatik ke Q2, satu pencapaian yang sukar dilihat pada tahun 2024. Ini jelas membuktikan bahawa HRC telah membuat kemajuan besar sepanjang musim sejuk.

Memetik laporan MotoGP, pada hari perlumbaan utama, Zarco muncul sebagai pelumba Honda terbaik dengan menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh. Ini merupakan pencapaian terbaik Honda sejak Marc Marquez menamatkan perlumbaan di tempat keenam pada GP Thailand 2023. Zarco, yang juga juara dunia dua kali Moto2, menyifatkan keputusan itu sebagai lebih daripada mencukupi.

“Permulaan yang baik untuk musim ini dan perlumbaan yang mencabar. 10 pusingan pertama adalah yang paling sukar buat saya, tetapi saya cuba bersabar kerana saya tahu pemilihan tayar sederhana akan memberi kelebihan di akhir perlumbaan,” jelas Zarco.

Dengan tambahan mata daripada Mir yang berjaya meraih mata pertamanya dalam Tissot Sprint pada hari Sabtu lalu serta Luca Marini (Honda HRC Castrol) yang menamatkan perlumbaan di tempat ke-12, hanya Somkiat Chantra (Idemitsu Honda LCR) gagal mengutip mata di tanah airnya. Namun, pelumba rookie dari Thailand itu masih mampu menamatkan perlumbaan hanya lima saat dari zon mata, satu pencapaian yang membanggakan bagi seorang pendatang baharu dalam kelas utama.

Mir, yang kelihatan berpotensi untuk menamatkan perlumbaan dalam kelompok 10 teratas, mengalami kemalangan di pusingan 12 dan kehilangan peluang berharga. Walaupun begitu, dia tetap optimis dengan pencapaian Honda setakat ini.

“Saya gembira kerana kami melakukan hujung minggu yang baik. Saya rasa kami menunjukkan prestasi yang lebih baik berbanding tahun lalu. Ini adalah sesuatu yang saya tidak boleh katakan tahun lalu dalam mana-mana perlumbaan, jadi ia membuktikan bahawa kami berada di landasan yang betul,” kata Mir.

Sementara itu, Marini juga berpuas hati dengan prestasi di Buriram dan yakin lebih banyak kemajuan akan dicapai.

Kredit : Honda Racing GLB / Twitter

“Kami telah membuat peningkatan yang baik sejak kali terakhir berada di sini. Saya melakukan kesilapan pada permulaan tetapi berjaya bangkit dari kedudukan terakhir ke tempat ke-12. Jika bukan kerana kesilapan itu, saya pasti dapat bersaing dengan Mir dan Zarco dalam kelompok 10 terbaik,” kata Marini.

Perlumbaan seterusnya akan berlangsung di Termas de Rio Hondo, Argentina. Litar yang bakal memberikan cabaran baharu buat semua pelumba selepas mereka sudah banyak menghabiskan masa di Litar Asia Tenggara dengan sesi ujian pramusim di Sepang dan aksi perlumbaan pembukaan di Buriram dalam sebulan terakhir.

Baca juga:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}

Kongsi artikel ini:

Related