Pusingan keempat MotoGP 2025 kini tiba di Litar Antarabangsa Lusail, Qatar Lusail International Circuit, dan seperti biasa, di bawah limpahan cahaya lampu, segalanya boleh berlaku. Selepas aksi mendebarkan di Grand Prix Americas, tumpuan kini beralih ke Timur Tengah: adakah kita bakal saksikan pemenang baharu? Mungkinkah ‘The Martinator’ kembali mengejutkan semua? Inilah pentas yang sering melakar sejarah, dan mungkin juga permulaan sebenar musim 2025 yang dinanti-nantikan.
Alex Marquez sedia rangkul kemenangan sulung?
Alex Marquez (BK8 Gresini Racing MotoGP) tiba di Lusail sebagai pendahulu kejuaraan, walaupun masih belum memenangi sebarang perlumbaan Grand Prix musim ini. Enam kali di tempat kedua (tiga dalam Sprint, tiga dalam GP utama), adakah ini peluang terbaik untuknya mendaki ke tangga teratas? Tambah pula, beliau ketika ini hanya satu mata di hadapan abangnya, Marc Marquez (Ducati Lenovo Team) yang pernah memenangi GP Qatar dengan rekod sekali sahaja dalam karier hidupnya iaitu pada tahun 2014. Lusail pernah menyaksikan kemenangan sulung buat pelumba seperti Casey Stoner, Enea Bastianini dan Fabio Di Giannantonio… adakah Alex akan menambah namanya dalam senarai legenda tersebut?
Bagnaia bakal kekal bertuah?
Juara GP Qatar tahun lalu, Francesco Bagnaia membuka akaun kemenangannya untuk musim 2025 dengan kemenangan bergaya di COTA. Kini, dia kembali ke litar yang pernah memberinya kejayaan di bawah lampu neon. Dengan 11 kemenangan musim lalu namun gagal merangkul kejuaraan dunia, Bagnaia sudah pasti tahu betapa pentingnya konsistensi dan bukan sekadar kejayaan besar. Adakah dia mampu kekal dalam momentum?
Martin raih kejayaan pertama selepas ‘comeback?’
Juara Dunia semasa, Jorge Martin (Aprilia Racing), telah melepasi pemeriksaan perubatan di Barcelona dan bakal kembali beraksi hujung minggu ini. Pernah dua kali bermula dari petak utama dan dua kali menamatkan perlumbaan di tempat ketiga di Lusail, kehadiran #1 di grid sudah cukup untuk menghidupkan semula api persaingan! Meskipun hasrat sekadar berjaya menghabiskan perlumbaan, namun tidak dapat dinafikan kehebatan pelumba Sepanyol itu mampu mencipta kejutan.
Peningkatan pelumba lain
- Fabio Di Giannantonio (VR46) – Pemenang Lusail 2023 kini kembali ke prestasi terbaik selepas meraih kedudukan podium di COTA dan berada di kedudukan ke-5 secara keseluruhan.
- Ai Ogura (Trackhouse) – Rookie yang konsisten, menduduki tangga ke-6 dan terus mencipta kejutan demi kejutan di litar yang sudah menjadi kebiasaannya sejak zaman Kejohanan Asia Cup.
- Marco Bezzecchi (Aprilia Racing) – Bermula dari luar kelompok 10 terbaik kini ke Petak 6 di COTA, mensasarkan kedudukan yang lebih stabil hujung minggu ini.
- Johann Zarco & Luca Marini – Dua pelumba jenama pengeluar Jepun, Honda yang masih bersaing sengit untuk menempatkan diri di kedudukan kelompok 10 terbaik.
- Jack Miller (Yamaha) – Mempamerkan aksi terbaik setakat ini dengan rekod meraih Petak 5 di Amerika baru-baru ini.
Siapa bakal kekal dalam kelompok 10 terbaik?
Dengan saingan yang semakin sengit untuk meraih kedudukan dalam kelompok 10 terbaik, Pelumba KTM seperti Brad Binder, Enea Bastianini dan Pedro Acosta turut berjuang untuk melunaskan hasrat kembali ke podium.
Dengan hanya 9 mata memisahkan Binder dan Alex Rins, persaingan untuk kekal dalam kelompok 10 teratas dijangka merupakan antara cabaran terbesar dengan pelumba yang ketika ini mencuri tumpuan, Fabio Quartararo dan Joan Mir yang ketika ini mempamerkan peningkatan ketara sepanjang musim.
Baca juga: