Jorge Martin masih belum bersedia mengibarkan bendera putih.
Walaupun baru beberapa hari mengalami kecederaan di Australia, pelumba Aprilia itu tetap hadir ke Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang dengan harapan dapat meneruskan cabaran kejuaraan dunia MotoGP musim ini.

Jorge Martin mengalami kemalangan berkelajuan tinggi ketika perlumbaan Sprint di Phillip Island minggu lalu ketika sedang bertarung di kelompok hadapan. Insiden itu menyebabkan dia mengalami retak pada bahagian distal radius pergelangan tangan kanan, sekali gus menimbulkan keraguan sama ada dia mampu beraksi di Grand Prix Malaysia.
Pemeriksaan lanjut bagaimanapun mengesahkan kecederaan tersebut tidak melibatkan pergeseran tulang dan tidak memerlukan pembedahan buat masa ini, memberikan harapan kepada Martin untuk kembali ke trek lebih awal daripada jangkaan.
Pada Khamis, pelumba Sepanyol itu berjaya melepasi pemeriksaan perubatan awal dan diberikan kebenaran untuk mengambil bahagian dalam sesi Latihan Bebas 1 (FP1) di Sepang. Namun, penyertaannya untuk baki hujung minggu perlumbaan masih belum terjamin kerana pasukan perubatan MotoGP akan melakukan penilaian semula sejurus selepas sesi tersebut.
Keputusannya untuk tetap mencuba hadir ketika dirinya masih terlibat dalam perebutan kejuaraan dunia, sekali gus mencetuskan persoalan sama ada faktor tersebut memainkan peranan besar dalam tindakannya.
Malah, Martin sendiri mengakui bahawa jika dia tidak berada dalam perebutan kejuaraan ketika ini, kemungkinan besar lengannya sudah berada dalam simen dan dia akan memberi tumpuan sepenuhnya kepada proses pemulihan.
Ketika sidang media di Sepang, timbul pandangan bahawa sekiranya Martin tidak lagi berada dalam perebutan gelaran, dia mungkin memilih untuk kembali ke Andorra dan memberi tumpuan sepenuhnya kepada proses pemulihan berbanding mengambil risiko untuk kembali berlumba lebih awal.
Namun bagi Marc Marquez, keputusan Martin untuk mencuba bukan sesuatu yang menghairankan.
Juara dunia lapan kali itu mengakui gembira melihat Martin kembali berada di paddock dan percaya sistem pemeriksaan perubatan yang digunakan MotoGP ketika ini cukup ketat untuk memastikan hanya pelumba yang benar-benar cergas diberikan kebenaran untuk berlumba.
Menurutnya, jika Martin akhirnya diberikan status “fit”, ini bermakna pasukan perubatan yakin dia berada dalam keadaan yang selamat untuk menunggang jentera MotoGP.
Pandangan itu turut dikongsi Marco Bezzecchi.
Pelumba Itali tersebut mengakui kebanyakan pelumba pernah berdepan situasi serupa sepanjang karier mereka dan memahami mengapa Martin memilih untuk hadir ke litar walaupun belum pasti dapat berlumba.
Malah, Bezzecchi berpendapat dia sendiri mungkin akan melakukan perkara yang sama jika berada dalam kedudukan Martin.
“Apabila anda masih mempunyai peluang, anda mahu sekurang-kurangnya datang dan mencuba,” katanya.
Namun, dia bukan satu-satunya pelumba yang masih mempunyai sesuatu untuk diperjuangkan.

“50 mata tetap 50 mata”
Bezzecchi sendiri masih belum tersingkir daripada perebutan gelaran dunia, meskipun berdepan defisit 50 mata berbanding pendahulu kejuaraan.
Kemampuannya untuk terus mencabar turut menjadi topik perbincangan selepas ada yang berpendapat jurang tersebut masih boleh diatasi, terutama jika dia berjaya memenangi baki perlumbaan musim ini.
Ketika diminta mengulas pandangan itu, Bezzecchi menganggapnya sebagai satu penghargaan, namun enggan melihat situasi tersebut secara terlalu optimistik.
“Saya menghargainya. Tetapi bukan semua yang dikatakan itu benar. Lima puluh mata tetap lima puluh mata,” katanya.
Pada masa sama, pelumba Itali itu mengakui apa sahaja boleh berlaku dalam perlumbaan, terutama pada peringkat akhir musim yang sering menyaksikan perubahan mendadak dalam carta kejuaraan.
“Memang benar, dalam perlumbaan apa sahaja boleh berlaku. Saya sangat menghargai apa yang dikatakan dan apa yang mereka fikirkan mengenai saya, tetapi ia tidak akan pernah menjadi mudah.”
Daripada terlalu memikirkan pelbagai kemungkinan, Bezzecchi memilih untuk memberi tumpuan kepada perkara yang berada dalam kawalannya sendiri iaitu menjadi sekompetitif mungkin dan mengutip keputusan terbaik pada setiap hujung minggu perlumbaan.
Situasi itu menjadikan Sepang sekali lagi pentas penting dalam perebutan gelaran dunia.
Jorge Martin sanggup hadir dan mencuba walaupun belum mempunyai jaminan untuk berlumba dan masih perlu menjalani penilaian lanjut selepas FP1. Marco Bezzecchi pula terus mengejar walaupun jurang 50 mata memisahkannya daripada pendahulu kejuaraan, Marc Marquez.


