Juara Dunia Jose Antonio Rueda (Red Bull KTM Ajo) membuka tirai aksi Grand Prix Malaysia dengan cemerlang apabila muncul pelumba terpantas dalam sesi latihan Moto3 yang berlangsung pada petang Jumaat.
Catatan masa 2 minit 11.152 saat sudah cukup untuk meletakkan Rueda di puncak carta, hanya 0.035 saat di hadapan rakan senegaranya Alvaro Carpe, menjadikan permulaan sempurna buat pasukan Red Bull KTM Ajo di Litar Antarabangsa Sepang.
Di tempat ketiga pula milik juara Red Bull MotoGP Rookies Cup musim lalu, Brian Uriarte (Liqui Moly Dynavolt Intact GP), yang terus mencuri perhatian dengan prestasi meyakinkan pada hari pertama.
Sesi latihan Moto3 kali ini sedikit terganggu apabila berlaku tumpahan minyak di litar sebelum permulaan, menyebabkan sesi ditangguhkan agak lama. Namun sebaik dimulakan semula, suasana bertukar rancak dengan beberapa pelumba beraksi agresif dalam usaha memburu tiket automatik ke sesi kelayakan Q2.
Antara yang kurang bernasib baik ialah Maximo Quiles (CFMOTO Power Electronics Aspar Team) yang terlepas peluang mara ke Q2 selepas gagal memperbaiki catatan masa di penghujung sesi. Nasib sama menimpa pelumba Itali Guido Pini (Liqui Moly Dynavolt Intact GP), yang dilihat kecewa selepas berdepan sedikit pertikaian dengan Carpe pada saat-saat akhir sesi latihan.
Sementara itu, Angel Piqueras (FRINSA – MT Helmets – MSI) dan David Almansa (Leopard Racing) tidak menghadapi masalah untuk menempatkan diri dalam kelompok lima terpantas. Kedua-duanya menampilkan tunggangan konsisten dan stabil walaupun dalam keadaan cuaca panas terik di Sepang.
Turut melengkapkan senarai lapan pelumba terpantas ialah Taiyo Furusato (Honda Team Asia), Joel Kelso (LEVELUP-MTA) dan Jacob Roulstone (Red Bull KTM Tech3). Walaupun Roulstone mengalami kemalangan di Selekoh 4 pada penghujung sesi sama seperti rakan sepasukan Valentin Perrone pelumba Australia itu masih sempat merekodkan masa yang cukup pantas untuk layak ke Q2.
Aksi hari pertama ini jelas menunjukkan saingan sengit di antara pasukan utama, dengan Red Bull KTM Ajo memperlihatkan dominasi awal yang sukar digugat. Dengan catatan masa yang begitu rapat antara pelumba teratas, sesi kelayakan dan perlumbaan Sprint hari ini dijangka berlangsung penuh mendebarkan, terutamanya dengan cuaca tidak menentu di Sepang yang sering menjadi faktor penentu.
Baca juga:


