Terjatuh dua kali tidak halang Pedro Acosta ungguli sesi latihan

Terlibat dalam insiden kejatuhan bukan sekali, malah dua kali, ternyata tidak mematahkan semangat Pedro Acosta untuk bangkit mencatatkan masa terpantas dalam sesi latihan bebas hari ini. Pelumba muda Red Bull KTM Factory Racing itu membuktikan ketenangan dan ketajaman fokusnya di Litar Antarabangsa Sepang apabila menamatkan sesi dengan catatan masa 1 minit 57.559 saat, sekaligus muncul sebagai pelumba terpantas hari tersebut.

Pelumba berusia 21 tahun dari Sepanyol itu menampilkan aksi penuh agresif selepas melalui sesi yang penuh cabaran sejak awal. Meskipun kehilangan banyak masa akibat dua insiden kejatuhan, Acosta berjaya bangkit dengan rentak yang luar biasa.

“Ia bukanlah permulaan yang saya mahukan, sudah tentu bukan cara terbaik untuk memulakan sesi dengan dua kejatuhan,” ujar Acosta. “Namun selepas itu, saya cuba untuk bertenang, fokus dan memastikan perkara sama tidak berulang. Saya gembira kerana akhirnya kami berjaya menamatkan hari ini dengan catatan terbaik.

Tambahnya lagi, sesi latihan kali ini lebih mencabar kerana pasukannya tidak membawa banyak komponen baharu ke Malaysia.

“Kami cuba pelbagai strategi, meneliti setiap sudut dengan lebih terperinci kerana sedikit kesilapan pun boleh memberi kesan besar kepada prestasi jentera. Walaupun tidak mudah, saya berpuas hati dengan hasilnya.

Acosta turut menegaskan masih terlalu awal untuk membicarakan sasaran podium, namun mengakui fokus kini tertumpu kepada sesi kelayakan dan persediaan tayar bagi aksi esok.

“Saya perlu lihat keadaan tayar dan memastikan kami layak ke Q1. Perlumbaan Sprint pastinya mencabar dengan cuaca panas dan lembap Malaysia, tapi kami semakin memahami arah tuju pelarasan jentera dan saya gembira dengan kemajuan hari ini,” katanya lagi.

Musim 2024 merupakan penampilan pertama Pedro Acosta di Litar Antarabangsa Sepang sebagai pelumba kelas premier MotoGP. Sebelum ini, beliau hanya pernah beraksi di litar sama ketika dalam kelas Moto2, di mana prestasinya sudah pun mencuri tumpuan ramai. Dalam musim sulungnya di kelas tertinggi ini, Acosta membuktikan kemampuannya sebagai rookie sensation apabila tampil konsisten menamatkan saingan dalam kelompok enam terbaik di kebanyakan perlumbaan.

Sebelum ini di Sepang, prestasi Acosta terus menyerlah apabila kelajuannya kekal stabil sepanjang sesi latihan dan kelayakan, menjadikan beliau antara pelumba yang paling pantas di litar tropika tersebut. Musim ini juga menyaksikan pelumba muda itu mencipta sejarah apabila menjadi pelumba termuda yang meraih podium dalam era moden MotoGP, sekaligus menewaskan rekod milik legenda Marc Márquez.

Baca juga:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}

Kongsi artikel ini:

Related