Pelumba sensasi Ducati Lenovo Team, Marc Marquez, terus memperkukuh cengkaman dalam kejuaraan MotoGP 2025 apabila meraih kemenangan keempat musim ini di Litar Aragon, Sepanyol.
Kejayaan ini bukan sahaja melonjakkan Marquez lebih kukuh di tangga teratas dengan kelebihan 32 mata, malah menjadikan podium kali ini lebih istimewa apabila adiknya sendiri, Alex Marquez (BK8 Gresini Racing), berada di tempat kedua.
Sementara itu, Francesco Bagnaia yang melengkapkan podium di tempat ketiga menyifatkan pencapaian kali ini sebagai titik perubahan penting dalam kempen musimnya yang sebelum ini hambar. Pelumba Itali itu membuat perubahan taktikal yang tidak dijangka dengan menukar cakera brek jentera dan ia nyata memberi kesan positif terhadap prestasi keseluruhannya.
“Saya lebih gembira dengan tempat ketiga ini berbanding keputusan lain sebelum ini. Kami tukar cakera brek,sesuatu yang kami tidak pernah lakukan sebelum ini dan ia memberi impak besar. Saya dapat memperlahankan motosikal dengan lebih baik dan ini banyak membantu saya,” kata Bagnaia selepas perlumbaan.
Dengan perlumbaan seterusnya bakal berlangsung di Mugello, litar yang sinonim dengan kejayaan buatnya, Bagnaia bertekad untuk mengekalkan momentum positif dan memburu kemenangan bagi merapatkan jurang mata kejuaraan.
Sementara itu, dominasi Marc Marquez musim ini semakin menyerlah dan menimbulkan persoalan adakah ini tahun kebangkitan semula juara dunia itu selepas beberapa musim yang penuh cabaran dan kecederaan.
Mereka akan turun semula ke litar bagi aksi kesembilan MotoGP 2025, dengan aksi yang dijadualkan berlangsung di LItar Mugello, Itali pada 22 Jun ini.
Baca juga :


