Maximo Quiles meneruskan aksi cemerlangnya dalam saingan Moto3 apabila mencatat kemenangan dominan dari mula hingga tamat di Grand Prix Perancis di Le Mans, sekali gus melebarkan jurang pendahuluan kejuaraan kepada 46 mata.
Pelumba CIP GreenPower itu memulakan perlumbaan dengan sempurna dari barisan hadapan sebelum terus menguasai perlumbaan yang dipenuhi pelbagai insiden kemalangan.
Perlumbaan bermula dramatik apabila beberapa pelumba terjatuh seawal pusingan pertama termasuk Brian Uriarte di selekoh kedua dan David Muñoz di selekoh ketiga. Tidak lama kemudian, Cormac Buchanan turut mengalami kemalangan ‘highside’ di selekoh ketujuh.
Insiden terus berlaku pada pusingan berikutnya apabila Casey O’Gorman, Valentin Perrone dan Joel Kelso masing-masing gagal menamatkan perlumbaan selepas terbabas.
Ketika Quiles terus selesa di hadapan, pencabar terdekat kejuaraan, Alvaro Carpe turut mengalami kemalangan di selekoh ke-10, memberi kelebihan besar kepada pendahulu kejuaraan itu.
Sementara itu, Adrian Fernandez dari Leopard Racing berjaya menamatkan perlumbaan di tempat kedua untuk naik ke kedudukan kedua keseluruhan kejuaraan dunia. Keputusan tersebut juga menandakan podium pertamanya selepas lebih setahun.
Matteo Bertelle melengkapkan podium di tempat ketiga meskipun dikenakan penalti Long Lap selepas memotong laluan di selekoh ke-10.
Pelumba Indonesia, Veda Pratama menamatkan perlumbaan di tempat keempat manakala Joel Esteban mempamerkan aksi kebangkitan hebat dari petak ke-20 untuk menamatkan saingan di tempat kelima.
Dalam masa sama, pelumba negara Hakim Danish berjaya mengutip satu mata kejuaraan selepas menamatkan perlumbaan di tempat ke-10 bersama AEON Credit – MT Helmets – MSI.
Kemenangan di Le Mans menyaksikan Quiles meraih kemenangan berturut-turut pertamanya dalam Moto3 sekali gus mengukuhkan statusnya sebagai pencabar utama gelaran dunia musim ini.


