Pelumba Ducati Lenovo Team, Marc Márquez kini sedang menjalani proses pemulihan di Hospital Ruber Internacional, Madrid selepas berjaya menjalani dua pembedahan serentak pada pagi Isnin.
Pasukan perubatan yang diketuai Dr. Samuel Antuña bersama beberapa pakar lain berjaya menstabilkan kecederaan patah tulang metatarsal kelima pada kaki kanan Márquez. Kecederaan tersebut dialami susulan kemalangan ‘highside’ ketika perlumbaan Sprint GP Perancis di Le Mans pada Sabtu.
Dalam masa sama, Márquez turut menjalani satu lagi pembedahan yang sememangnya sudah dirancang lebih awal bagi merawat kecederaan lama pada bahu kanannya.
Menurut kenyataan rasmi, kecederaan bahu itu kembali menimbulkan kesakitan selepas kemalangan besar yang dialaminya pada GP Indonesia musim lalu. Pasukan doktor berjaya mengeluarkan dua skru serta serpihan tulang daripada prosedur pembedahan Latarjet yang pernah dijalani Márquez pada Disember 2019.
Difahamkan, kedudukan skru yang berubah telah memberi tekanan kepada saraf radial di bahagian lengan kanan pelumba Sepanyol itu, sekali gus menjadi punca ketidakselesaan yang dialaminya sejak kebelakangan ini.
Seperti diumumkan sebelum ini, Márquez sah tidak akan mengambil bahagian dalam GP Catalunya minggu depan bagi memberi fokus sepenuhnya kepada proses pemulihan.
Juara dunia MotoGP itu akan berada di hospital semalaman sebelum dibenarkan pulang ke rumah pada Selasa untuk memulakan program rehabilitasi. Tempoh sebenar kepulangannya ke litar perlumbaan bagaimanapun masih belum dipastikan dan bergantung kepada perkembangan proses pemulihannya dalam beberapa minggu akan datang.


