Ducati mengakui hujung minggu Grand Prix Perancis di Le Mans menjadi antara aksi paling mengecewakan musim ini selepas kedua-dua pelumba utama mereka gagal mengutip sebarang mata pada perlumbaan utama.
Pasukan itu pada awalnya tampil penuh keyakinan selepas mendominasi sesi kelayakan menerusi kedudukan 1-2 Ducati, selain menerima maklum balas positif daripada Marc Marquez dan Francesco Bagnaia sepanjang hujung minggu perlumbaan.
Namun segala perancangan berubah selepas kemalangan ngeri Marc ketika Sprint Race sebelum nasib malang terus menimpa Ducati apabila Bagnaia turut terjatuh dalam perlumbaan utama, sekali gus menutup aksi di Le Mans tanpa sebarang mata.
Menurut Ducati, mereka kini perlu menilai semula keseluruhan situasi dengan tenang, namun tetap percaya asas prestasi pasukan masih kukuh meskipun keputusan di Perancis tidak memihak kepada mereka.
Pasukan itu turut memuji usaha Bagnaia yang disifatkan memberikan segala-galanya sepanjang minggu perlumbaan. Juara dunia itu menunjukkan peningkatan ketara dan kembali tampil kompetitif selepas kali terakhir meraih pole position di Malaysia.
Dalam Sprint Race, Bagnaia dilihat segera menemui rentak terbaiknya, manakala Marc pula sebenarnya belum berada pada tahap kecergasan penuh. Ducati turut mendedahkan bahawa pelumba Sepanyol itu sebenarnya sudah dijadual menjalani pembedahan bahu selepas GP Catalunya, sekali gus menjadikan prestasinya di Le Mans lebih luar biasa.
Walaupun menahan kesakitan, Marc masih berjaya mencipta rekod baharu litar di Le Mans, sesuatu yang dianggap Ducati sebagai bukti bakat luar biasanya.
Bagnaia pula dilihat memiliki kelajuan setanding pemenang perlumbaan dan berpotensi mencabar kemenangan sebelum kemalangan memusnahkan harapannya untuk menamatkan perlumbaan di kelompok hadapan.
Dalam pada itu, Ducati turut memuji Fabio Di Giannantonio yang sekali lagi muncul sebagai pelumba Ducati terbaik apabila menamatkan perlumbaan di tempat keempat hasil aksi kebangkitan cemerlang.
Pasukan Itali itu menegaskan mereka perlu kembali bangkit dan menjadikan perkara positif dari Le Mans sebagai motivasi untuk menghadapi baki musim.
Ducati turut mengakui mereka akan menghadapi cabaran lebih besar di Montmelò tanpa Marc Marquez, namun seluruh pasukan berharap juara dunia tujuh kali itu dapat kembali beraksi secepat mungkin.
“Forza Ducati!” kata pasukan itu dalam kenyataan penuh semangat mereka , semalam.


