Qabil Irfan kekal rekod sempurna, Juarai FIM MiniGP Malaysia 2025

Pelumba muda berbakat negara, Qabil Irfan Azlan, mengesahkan gelaran juara keseluruhan kategori 190cc FIM MiniGP Malaysia 2025 selepas mengekalkan rekod sempurna dengan lapan kemenangan berturut-turut musim ini.

Aksi konsisten anak jati Terengganu berusia 13 tahun itu sekali lagi mencuri tumpuan apabila menamatkan Pusingan 4 di LYL International Karting Circuit pada Ahad lalu dengan menyapu bersih kemenangan dalam kedua-dua perlumbaan. Kejayaan itu membolehkan beliau mengumpul 200 mata penuh, sekali gus mengesahkan kejuaraan lebih awal walaupun musim masih berbaki satu pusingan.

Kemenangan ini turut memastikan Qabil layak secara automatik mewakili Malaysia ke Kejuaraan Siri Dunia MiniGP 2025 yang dijadual berlangsung di Valencia, Sepanyol hujung tahun ini.

“Musim ini amat istimewa kerana saya berjaya mengekalkan prestasi konsisten sejak perlumbaan pertama. Gelaran ini adalah hasil usaha berterusan pasukan, keluarga, penaja, dan semua yang sentiasa menyokong saya.

Apapun, saya akan terus bekerja keras terutama menjelang persiapan ke Valencia memandangkan cabaran di sana pasti lebih sengit. Jadi, saya perlu berusaha lebih keras,” kata Qabil yang turut mempertahankan gelaran sama yang dimenanginya pada musim 2024.

Kemenangan kali ini menambah koleksi kejuaraan Qabil, selepas pernah merangkul gelaran 160cc pada 2022 dan 2023, selain menjuarai SIC Ohvale Junior Championship 110cc pada 2021 serta SIC MiniGP Championship pada tahun yang sama.

Sementara itu, perebutan dua lagi tiket ke Valencia bagi kategori 190cc akan ditentukan pada pusingan terakhir di RUD Karting Sepang pada 11-12 Oktober 2025. Qayim Razin (124 mata), Adam Aiman (123 mata) dan Malek Ridha (112 mata) masih berpeluang untuk melayakkan diri.

Dengan prestasi cemerlangnya, Qabil kini dilihat sebagai salah satu prospek terbaik Malaysia untuk mencipta impak di pentas dunia, sekali gus mengharumkan nama negara di Kejuaraan Siri Dunia MiniGP kelak.

Baca juga:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}

Kongsi artikel ini:

Related