Perbincangan dalam kalangan peminat sukan permotoran berhubung pencapaian Hakim Danish serta peranan pihak yang terlibat dilihat berterusan, susulan kenyataan yang dikeluarkan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan mengenai bentuk penyaluran peruntukan kewangan kepada pelumba dalam satu sesi sidang media selepas pengumuman penajaan rasmi AEON Credit Service (M) bagi pasukan MT Helmet MSI untuk kategori Moto3 di PWTC.
Tarmac Sports mengikuti kemelut ini sejak Hakim Danish menaiki podium tempat ke-3 Moto3 di GP Itali, yang turut mencetuskan perbincangan dalam kalangan peminat berkaitan pengiktirafan dan sokongan terhadap pelumba muda negara. Kemenangan di GP Czechia kemudiannya menjadi antara pencapaian terkini dalam perkembangan kerjayanya di peringkat antarabangsa.
Terdapat pelbagai pandangan yang dikemukakan berkaitan sokongan kepada pelumba serta peranan institusi dalam pembangunan bakat. Berikut merupakan maklumat berkaitan penglibatan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam pembangunan pelumba negara, termasuk Hakim Danish.
Pengenalan MDEV
MDEV merupakan dana pembangunan bakat sukan permotoran diperkenalkan sejak 2018 oleh Sepang International Circuit (SIC) bagi mengenal pasti, membimbing dan melahirkan pelumba motosikal muda Malaysia yang berpotensi untuk bersaing di peringkat antarabangsa sehingga ke Kejuaraan Dunia MotoGP, yang turut dikenali sebagai Impian ke MotoGP.
Peruntukan KBS sepanjang 5 tahun lalu
Sepanjang lima tahun yang lalu, KBS telah memperuntukkan dan menyumbang sebanyak RM30,083,000.00, manakala SIC turut menyumbang sebanyak RM6,322,000.00 dalam bentuk penajaan tunai serta hampir RM14 juta melalui penggunaan fasiliti bagi menyokong pembangunan sukan permotoran di Malaysia.
Peruntukan ini meliputi pelbagai inisiatif termasuk pembangunan infrastruktur, pelaksanaan program pembangunan bakat serta sokongan kepada pelumba dan pasukan negara.
Program Impian Ke MotoGP 2025
Sepanjang tahun 2025, program Impian ke MotoGP merangkumi penyertaan dalam:
· FIM JuniorGP World Championship (Hakim Danish)
· Red Bull Rookies Cup (Hakim Danish)
· Asia Talent Cup (Adam Danial, Sharf Muhriz)
· FIM MiniGP World Series (Al-Adam, Qasha, Qabil&Adam Danial)
· ESBK Moto4 (Qabil Irfan)
· FIM MiniGP Malaysia Series
· SIC Ohvale Junior Championship
· Latihan IKM (semua pelumba)
· Latihan NSF250 (semua pelumba)
Program Impian Ke MotoGP 2026
Bagi tahun 2026, program ini diteruskan dengan sokongan kepada:
· Moto3 World Championship (Hakim Danish)
· Moto4 European&Asia Cup (Qabil Irfan)
· Moto4 Asia Cup (Qayyim Razin)
· FIM MiniGP Malaysia
· SIC Ohvale Junior Championship

Khusus Pembangunan Hakim Danish sepanjang 5 tahun (2021–2025)
Bagi pembangunan Hakim Danish sejak tahun 2021, jumlah perbelanjaan untuk tempoh lima tahun adalah sebanyak RM8,930,686.51 melibatkan sumbangan KBS, MOF dan SIC.
Data menunjukkan peningkatan perbelanjaan dari tahun ke tahun, selaras dengan penyertaan di tahap pertandingan yang semakin tinggi.
Perincian perbelanjaan
2021
· Asia Talent Cup: RM73,816.16
2022
· Asia Talent Cup: RM101,600.00
· European Talent Cup: RM916,562.39
2023
· Red Bull Rookies Cup: RM200,000.00
· European Talent Cup: RM750,000.00
2024
· Red Bull Rookies Cup: RM246,172.00
· JuniorGP: RM2,146,238.00
2025
· Red Bull Rookies Cup: RM366,532.00
· JuniorGP: RM3,056,380.00 (jumlah tertinggi sepanjang tempoh tersebut)
Sepanjang tempoh 2021 hingga 2025, jumlah latihan di bawah program Impian ke MotoGP adalah sebanyak RM1,073,385.96.
Dana bagi tahun 2026
Bagi tahun 2026, sebanyak RM453,808 diperuntukkan oleh SIC bagi menyokong program ini melalui dana dalaman menggunakan MotoGP Rebate, yang menyokong penyertaan dalam Moto3 World Championship.
Dalam konteks perbincangan tersebut, data menunjukkan pembangunan Hakim Danish melibatkan sokongan daripada pelbagai pihak melalui program, peruntukan dan penyertaan pertandingan di pelbagai peringkat. Sepanjang tempoh 2021 hingga 2025, peningkatan perbelanjaan dan tahap penyertaan menggambarkan pendekatan pembangunan berperingkat ke arah penyertaan di peringkat antarabangsa.
Semoga dengan fakta ini, tohmahan kepada KBS yang seakan-akan tidak membantu perlu dihentikan supaya kita terus fokus bantu pelumba muda yang mula meningkat naik dengan pelbagai cara supaya ramai lagi Hakim Danish dilahirkan. Buat pembelian tiket GP Malaysia yang akan diadakan pada 30 Oktober hingga 1 Nov ini.


