Arena permotoran dunia sekali lagi menyaksikan bintang muda Malaysia bersinar, apabila Hakim Danish Ramli dan Qabil Irfan Azlan menutup musim 2025 dengan kejayaan gemilang di pentas antarabangsa.
Pelumba muda sensasi, Qabil Irfan Azlan, 13, menamatkan musim dengan penuh bergaya apabila muncul juara keseluruhan ESBK Talent 2025 di Portugal.
Qabil menewaskan pelumba tuan rumah, Enzo Zaragoza, dengan kelebihan 14.176 saat pada perlumbaan pertama pusingan keenam di Litar Estoril, sekali gus mengumpul 227 mata untuk meninggalkan pencabar terdekat dari Switzerland, Arnold Alessio yang meraih 181 mata.
Di Litar Misano, Itali pula, Hakim Danish, 18, menamatkan kempen Red Bull MotoGP Rookies Cup sebagai naib juara keseluruhan dengan kutipan 171 mata, ketinggalan di belakang juara dari Sepanyol, Brian Uriarte yang mengumpul 216 mata.

Walaupun tidak berjaya menewaskan Uriarte pada perlumbaan akhir, Hakim tetap mempamerkan prestasi konsisten sepanjang musim termasuk mencipta podium sulung di Mugello selepas pertarungan sengit dengan pelumba Indonesia, Veda Pratama yang hanya dipisahkan 0.011 saat di garisan penamat.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, turut menyampaikan ucapan tahniah kepada kedua-dua pelumba berbakat besar itu menerusi laman media sosialnya.
“Syabas dan tahniah kepada Hakim Danish dan Qabil Irfan atas kejayaan yang amat membanggakan di kejohanan Red Bull Rookies Cup 2025 dan ESBK – Campeonato de Espana de Superbike. Kejayaan ini membuktikan semangat juang, dedikasi dan disiplin yang tinggi mampu membuahkan kejayaan dan sekali gus mengangkat nama Malaysia di persada dunia.
“Kementerian Belia dan Sukan akan terus menyokong perjalanan Danish dan Qabil, agar menggapai lebih banyak kejayaan pada masa yang akan datang,” ungkapnya.
Dengan pencapaian ini, Malaysia sekali lagi membuktikan keupayaannya melahirkan bakat besar dalam arena permotoran dunia, sekali gus membuka lembaran baharu buat masa depan sukan dua roda negara.
Baca juga:


